PENGENDALI SFC, Nidzam Jamil. -FOTO NSTP
PENGENDALI SFC, Nidzam Jamil. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC (SFC) Nidzam Jamil mengakui beberapa 'resepi rahsia' menjadi antara penyumbang kepada kemenangan besar 4-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan berkongsi rahsia itu adalah membabitkan persiapan taktikal, nasib dan karakter serta usaha keras pemain terutama di babak kedua hingga boleh menjaringkan empat gol di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Beliau berkata, kejayaan membenam Negeri Sembilan menerusi jaringan besar juga dibantu hasil komitmen tinggi pemain selain sokongan padu lebih 10,000 penyokong Gergasi Merah.

"Apabila kita melakukan persiapan yang bagus dan disusuli dengan usaha keras pemain, faktor nasib akan dekat dengan kita untuk dapatkan keputusan yang baik.

"Saya suka apa yang Yohandry Orozco tawarkan kepada kita malam ini, dia pemain berpengalaman tiada isu mengenai masalah prestasi. Saya gembira dengan Ronnie (Fernandez) yang mana dia melakukan tugas dengan baik walaupun ketika bersama bola atau tanpa bola dan dia meledak satu gol.

"Pemain seperti Mukahiri Ajmal (Mahadi) dan Nooa (Laine), mereka bermain dengan bagus. Sudah pasti sentiasa ada ruang untuk tingkatkan lagi permainan.

"Afro (Sharul Nazeem Zulpakar) bermain sebelah kanan dan selepas itu di bahagian kiri, sangat mencabar bagi pertahanan tengah untuk beraksi di dua bahagian itu. Jadi, saya bangga dengan apa yang dia tunjukkan sepanjang dua perlawanan ini," katanya selepas perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor naik ke tangga keempat Liga Super dengan mengumpul enam mata, tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sementara itu, pengendali Negeri Sembilan, Azzmi Ab Aziz menyifatkan kesilapan individu dan terlalu memberi banyak ruang kepada Selangor terutama di bahagian tengah sebagai punca pasukannya tewas.

"Sangat mengecewakan terutama babak kedua. Kami tidak ikut perancangan, memberi banyak ruang kepada mereka (pemain Selangor) bermain di bahagian tengah.

"Kita main formasi yang berbeza, bukan macam kita main di Stadium Sultan Ibrahim (menentang JDT), tapi saya rasa sistem tiada isu. Sebenarnya lebih kepada kesilapan individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 4:55 PM