PEMAIN NSFC, Mohamad Izzuddin Roslan (tengah) diasak pemain Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO  Azrul Edham
PEMAIN NSFC, Mohamad Izzuddin Roslan (tengah) diasak pemain Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO Azrul Edham
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kesilapan demi kesilapan dilakukan Selangor FC (SFC) menyebabkan mereka kempunan meraih tiga mata penting ketika bertemu Negeri Sembilan (NSFC) dalam aksi Liga Super semalam.

Pengendali Selangor FC (SFC), Michael Feichtenbeiner berkata, walaupun pasukannya mendahului 2-0 dengan 10 pemain namun sepakan penalti yang dihadiahkan kepada skuad Jang menjadi detik di mana mereka terpaksa berpuas hati diikat 2-2 di Paroi.

"Pemain adalah manusia dan mereka akan melakukan kesilapan. Apa yang perlu difokuskan adalah mengurangkan kesilapan tetapi saya tidak mahu bercakap mengenai kesilapan dilakukan.

"Saya tahu semua mengharapkan tiga mata tetapi kadang kala, kita perlu terima satu mata sahaja. Tanpa melihat kepada keputusan semasa mata, saya bangga kerana pemain memberikan persembahan mengagumkan.

"Kita perlu melihat perlawanan ini dari dua situasi iaitu ketika 11 lawan 11 dan 11 lawan 10. Kita bertahan dengan baik pada babak pertama dengan 10 pemain tetapi tidak mudah bertahan pada babak kedua dengan tekanan diberikan NSFC," katanya.

Pada masa sama, jurulatih dari Jerman itu mengakui sepakan penalti diberikan kepada Negeri Sembilan pada babak kedua mengubah perlawanan dan memberi kelebihan kepada tuan rumah yang mencetus kebangkitan untuk mengutip satu mata.

"Walaupun dengan 10 pemain, kita masih mencipta peluang tetapi pada pandangan saya, sepakan penalti kepada NSFC itu mengubah segalanya. Kami sudah mengawal perlawanan selepas mendahului 2-0 dan kita boleh dapatkan gol ketiga.

"Dengan sepakan penalti itu, ia memberi keyakinan kepada NSFC untuk bangkit dan situasi itu menyukarkan kita untuk bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 5:10 PM