BARISAN pemain Selangor pamer aksi cemerlang ketika menewaskan Brunei DPMM FC. FOTO IHSAN SELANGOR FC
BARISAN pemain Selangor pamer aksi cemerlang ketika menewaskan Brunei DPMM FC. FOTO IHSAN SELANGOR FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil ternyata senyum lebar dengan persembahan dipamerkan anak buahnya terutama penyerang baharu skuad Gergasi Merah Alvin Fortes yang sudah mula serasi bersama rakan sepasukan lain.

Malah, ketajaman penyerang berusia 29 tahun berasal dari Cape Verde itu sudah pastinya menjadi peledak baharu buat Selangor FC selepas menyumbang dua gol untuk memastikan Brunei DPMM FC tewas 4-0 dalam kejohanan Selangor Asia Challenge 2024, semalam.

Nidzam berkata, barisan pemain sudah mula mempamerkan keserasian sekali gus memberi petanda positif sebaik saingan Liga Super bermula pada bulan depan.

"Bagus untuk dia (Fortes) di pramusim ini sebab sudah terlibat dalam pembinaan serangan dan menjaringkan beberapa gol. Ini penting untuk dia kerana dia tunjukkan dia serasi dengan liga dan bukan hanya serasi dengan rakan sepasukan.

"Dia pernah bermain di Liga Thailand jadi ianya lebih kurang dengan Liga Malaysia cuba berbeza sedikit dari segi budaya. Saya sangat gembira dengannya kerana dia bekerja keras dan tunjuk sikap yang sama dalam latihan.

"Dalam aksi ini dia berjaya buktikan kemampuannya dan sangat baik untuknya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan," katanya.

Selain itu, beliau juga berpuas hati dengan aksi sepasukan terutama dari sudut komitmen dan mentaliti pemain yang mampu menterjemah dengan baik setiap taktikal di atas padang.

"Pemain menunjukkan dua babak yang berbeza tetapi mereka menunjukkan sikap dan mentaliti yang baik dengan bermain sebagai satu pasukan yang buatkan saya gembira dengan komitmen pemain dalam permainan ini," katanya.

Sementara itu pengendali DPMM FC, Rui Capela mengakui pasukannya dapat mempelajari banyak perkara dalam perlawanan ini sebagai persediaan untuk menghadapi musim baharu Liga Premier Singapura 2024-25 dan menganggap Selangor sebagai satu pasukan yang cukup baik untuk musim ini.

"Ia satu perlawanan yang sukar menentang pasukan yang baik seperti Selangor dan keputusan ini menggambarkan keadaan pasukan kami setakat ini yang masih belum lengkap menjelang pembukaan musim baharu Liga Premier Singapura.

"Apa yang positif adalah kami dapat belajar dari kesilapan dan permainan ini sangat penting kerana Selangor adalah pasukan yang baik dan berharap mereka dapat memberikan saingan dalam liga musim ini," katanya.

Selangor akan bertemu wakil Laos, Young Elephants manakala DPMM pula akan bertemu seteru utama di Singapura, Balestier Khalsa dalam perlawanan kedua SAC 2024 di Stadium MBPJ, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 2:21 PM