PEMAIN TFC gigih berlatih. FOTO TFC
PEMAIN TFC gigih berlatih. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain gergasi Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) dituntut lebih fokus mengekalkan momentum kemenangan apabila sekali lagi bakal berdepan gergasi utara, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Pesanan itu disuarakan pengendalinya, Nafuzi Zain yang turut menggesa pemainnya kekal positif selain tidak menjadikan aksi minggu lalu sebagai ukuran walaupun merakam kemenangan 1-0 hasil jaringan pemain sayap, Mohd Faiz Nasir.

Sebaliknya beliau mahu anak buahnya meningkatkan lagi prestasi selain berwaspada ancaman lawan yang pasti hadir dengan taktikal dan strategi berbeza selepas tumpas pada aksi Piala FA pusingan kedua minggu lalu.

"Pemain diingatkan agar lebih fokus selain mengekalkan momentum kemenangan menentang Kedah dalam misi mengutip tiga mata lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri. Pada masa sama pemain juga diingatkan waspada dengan taktikal lawan, kita menang minggu lepas dalam saingan Piala FA tapi esok Liga Super, jadi saingan sudah tentu berbeza. Lawan pasti hadir untuk menang, begitu juga kami.

"Namun apa yang penting pemain perlu memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super selain mengelak keciciran mata," katanya yang mengharapkan kehadiran peminat setia mampu memberi impak positif buat pemain.

Ketika ditanya adakah beliau bakal melakukan rombakan dalam kesebelasan skuadnya, bekas penyerang Terengganu itu belum bersedia mengumumkan lagi kerana masih dalam perancangan.

"Mengenai perubahan posisi belum diputuskan lagi sebab ada pemain mengalami kecederaan dan demam, dengan masa yang ada ini saya akan putuskan siapa bakal membarisi pasukan.

"Mengenai pemain import mungkin saya akan mengekalkan pemain sama ketika menentang skuad Kenari minggu lalu selepas Kipre Tchetche mengalami sedikit kecederaan," katanya.

Pertembungan dua gergasi itu pasti menarik kerana mereka bakal bertembung kali kedua dalam tempoh sepuluh hari.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak sudah pasti mahu melunaskan dendam kekalahan minggu lalu manakala skuad Nafuzi sudah pasti mahu melebarkan rekod kemenangan kedua berturut-turut ke atas pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 12:44 PM