Aksi pemain TFC ketika berdepan Perak dalam saingan Liga Super. FOTO ihsan Perak FC
Aksi pemain TFC ketika berdepan Perak dalam saingan Liga Super. FOTO ihsan Perak FC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain dijangka bakal melakukan rombakan kecil berdepan Sabah dalam perlawanan kelima Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok.

Katanya, ketiadaan pemain tengah meningkat naik, Azalinullah Alias yang mengalami kecederaan serius ketika bertemu Melaka United Rabu lalu memaksa beliau perlu memikirkan strategi baharu berdepan skuad Sang Badak.

Sebelum ini skuad Penyu terpaksa melupakan tonggak tengah, Petrus Shitembi sehingga berakhir musim ini selepas kapten pasukan kebangsaan Namibia itu mengalami kecederaan serius pada ligamen lutut ketika aksi pemanas badan di Johor Bharu sebelum Liga Malaysia (Liga M) bermula.

"Mengenai kesebelasan utama pasukan bergantung kepada keadaan pemain yang benar-benar cergas dan berada pada tahap prestasi terbaik bakal kita senaraikan kerana kita tahu dengan jadual yang padat sudah tentu memberi impak kepada pemain.

"Namun saya percaya dengan semua pemain yang pasti mahu mengutip mata selain mengekalkan rentak kemenangan selepas empat perlawanan, mereka bakal memperagakan aksi terbaik biarpun tanpa Azalinullah," katanya.

Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Kelantan itu akui skuadnya yang kini menghuni di tangga kedua carta liga bakal berdepan laluan getir untuk merakam kemenangan kerana lawan boleh disifatkan 'harimau luka'.

"Liga Super tiada perlawanan yang mudah sama ada bertemu pasukan berada di tangga bawah ataupun atas, ianya sama sahaja agak sukar untuk merakam kemenangan, lagipun kita tahu di Sabah lebih sukar untuk mengutip tiga mata kerana semangat mereka untuk menang di tempat sendiri pastinya berbeza.

"Jadi apa yang penting pemain perlu lebih bersedia untuk mengelak daripada terjerat, namun dalam masa sama saya berkeyakinan pemain mampu memperagakan aksi terbaik untuk membawa pulang mata," katanya.

Sementara itu, pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali menuntut anak buahnya lebih kreatif dan tenang ketika berada di dalam kotak penalti Sarawak United pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat malam esok.

Beliau mengharapkan episod malang ketika terikat 0-0 dengan Kelantan FC Selasa lalu perlu dilupakan segera dalam misi memburu tiga mata biarpun sedar lawan kini berada pada tahap prestasi terbaik selepas merakam semua kemenangan dalam aksi setakat ini.

"Kita sedar bukan mudah buat pemain untuk menyaingi lawan lebih-lebih lagi reputasi skuad itu kini berada pada tahap terbaik, namun itu bukan alasan buat pemain sebaliknya saya tuntut mereka lebih bijak menghidu peluang untuk menghasilkan jaringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 9:19 PM