STEINBRUCKNER (dua kanan) berbincang dengan pembantunya pada sesi latihan di Pusat Latihan TFC petang semalam. -FOTO TFC
STEINBRUCKNER (dua kanan) berbincang dengan pembantunya pada sesi latihan di Pusat Latihan TFC petang semalam. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Arkitek kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov menjadi taruhan Terengganu FC (TFC) dalam misi melakar kemenangan berdepan PDRM FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

Selain bintang import baharu skuad Penyu itu, bekas pemain sayap Selangor FC, Nor Hakim Hassan turut menjadi 'senjata' skuad Pantai Timur itu untuk memburu tiga mata berdepan Sang Saka Biru yang hilang nakhodanya, Azzmi Ab Aziz selepas direhatkan pihak pengurusan.

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner berkata, peningkatan corak permainan yang diperagakan PDRM FC selain skuad itu mampu melakukan kejutan sebagaimana ketika menumpaskan Kedah, Sabah dan Selangor memaksanya lebih serius merangka strategi selain bakal melakukan rombakan dalam kesebelasan utama pasukannya.

"Persediaan kami seperti biasa begitu serius berdepan dengan PDRM FC yang dilihat semakin meningkat prestasinya sebagaimana ketika mereka berdepan dengan Kedah tempoh hari sekali gus menyukarkan kami untuk mengutip mata.

"Bagi memastikan kami tidak pulang dengan tangan kosong dalam pertemuan itu nanti, kami akan melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utama dengan pemain baharu, Tukhtasinov bakal menggalas tugas di posisi tengah manakala pemain sayap, Nor Hakim kekal di posisinya.

"Di posisi pertahanan tengah pula mungkin ada perubahan dan kita adakan sekali lagi latihan dan saya akan berbincang dengan penolong jurulatih untuk menentukannya," katanya.

Pada aksi pusingan pertama, skuad kendalian Steinbruckner itu terpaksa 'mandi peluh' sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Kulmatov walaupun lawan terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas penjaga gol, Ramadhan Ab Hamid dilayangkan kad merah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 12:42 PM