FUELLKRUG jaring gol tunggal ketika Dortmund menewaskan PSG 1-0 pada aksi separuh akhir pertama UCL di Berlin, minggu lalu. FOTO REUTERS
FUELLKRUG jaring gol tunggal ketika Dortmund menewaskan PSG 1-0 pada aksi separuh akhir pertama UCL di Berlin, minggu lalu. FOTO REUTERS
AFP

Berlin: Penyerang Borussia Dortmund, Niclas Fuellkrug kini di ambang penampilan ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Wembley, hanya dua tahun selepas bermain di liga bahagian dua Jerman dan perlu menyelesaikan tugas pada aksi separuh akhir kedua di Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi Rabu ini.

Penyerang berusia 31 tahun itu menjaringkan gol tunggal di separuh akhir pertama, minggu lalu, sekali gus memberi harapan kepada Dortmund untuk mara ke final kali pertama sejak tewas kepada musuh ketat, Bayern Munich pada 2013, juga di Wembley.

Berbeza dengan reputasi glamor bintang PSG, Kylian Mbappe, Fuellkrug menampil personaliti yang bekerja keras bukan saja gambaran mengenai skuad kendalian Edin Terzic itu, tetapi identiti keseluruhan kelab.

Walaupun Dortmund kekal pasukan underdogs menentang PSG yang kaya raya, Fuellkrug memiliki pengalaman mengatasi jangkaan ramai.

Karier Fuellkrug yang tidak pernah beraksi di UCL sehinggalah pada musim ini, sebelum ini kerap dibelenggu beberapa siri kecederaan serius.

Empat kali dalam kariernya dia terlepas beraksi lebih separuh musim terutama pada 2019 hingga 2020 kerana koyak 'anterior cruciate ligament' (ACL).

Fuellkrug mewakili Jerman secara konsisten di peringkat remaja, tetapi hanya tampil dengan pasukan utama kebangsaan pada 2022 iaitu tiga bulan sebelum mencecah usia 30 tahun.

Dia menjaringkan 11 gol daripada 15 perlawanan, kualiti yang dianggap menarik tetapi gagal mencuri perhatian di Jerman.

Fuellkrug menyertai Dortmund dari Werder Bremen pada Ogos lalu apabila dia memenangi trofi sebagai penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu.

Lahir dari produk akademi Bremen, Fuellkrug yang digelar 'Luecke' (jurang) kerana tiada dua gigi depan berpindah di beberapa kelab sebelum kembali pada 2019.

Dia menjadi tonggak utama ketika Bremen dinaikkan pangkat ke liga utama pada 2021-22.

Bagi kempen Euro 2024, Fuellkrug bakal menjadi penyerang utama Jerman dan muncul pemain tunggal Dortmund dipanggil untuk perlawanan persahabatan negara itu di bawah kendalian jurulatih, Julian Nagelsmann.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 9:17 AM