Monaco: Manchester United akan menentang skuad Harry Kane Bayern Munich dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) musim ini manakala undian peringkat kumpulan awal pagi tadi turut menyaksikan pertembungan Paris Saint-Germain (PSG) dan Newcastle United.
Bayern dan United muncul pasukan pilihan untuk mara dari Kumpulan A yang turut mengandungi FC Copenhagen dan juara Turki Galatasaray.
Perlawanan membabitkan juara Bundesliga dan kelab Old Trafford itu mengimbau kembali aksi paling diingati pada final UCL 1999 yang dimenangi United 2-1 menerusi kebangkitan saat akhir.
Kapten England Kane yang baru-baru ni berpindah ke Jerman dari Tottenham Hotspur dalam Twitternya berkata: "Tidak sabar untuk ini."
Kumpulan F menyaksikan persaingan lebih sengit apabila Newcastle berdepan AC Milan, Borussia Dortmund dan PSG.
Newcastle tampil kali pertama di UCL kali pertama dalam tempoh 20 tahun namun tetap berbahaya walaupun kekurangan pengalaman dalam saingan elit Eropah.
Juara Perancis PSG dijangka mara ke pusingan 16 tetapi Newcastle mampu mencipta kejutan dengan mengatasi Dortmund dan Milan yang mara ke separuh akhir musim lalu.
"Kumpulan ini sangat sukar, kami tak dapat lari daripadanya dan ini satu cabaran untuk kami pamer aksi terbaik," kata presiden Dortmund Hans-Joachim Watzke kepada Sky Jerman.
"Kami berharap dapat mencipta sesuatu yang luar biasa."
Masih segar selepas menjuarai UCL kali pertama, City berdepan laluan lebih mudah selepas diundi bersama RB Leipzig, Red Star Belgrade dan Young Boys dalam Kumpulan G.
Skuad Pep Guardiola boleh menjangkakan pesta gol ke atas juara Serbia dan Switzerland manakala City membelasah Leipzig 8-1 secara agregat dalam aksi 16 terakhir musim lalu.
Arsenal yang kembali ke UCL kali pertama sejak musim 2016/17 akan menentang juara Liga Europa Sevilla, juara Piala Eropah 1988 PSV Eindhoven dan Lens dari Perancis dalam Kumpulan B.
Juara 14 kali Real Madrid yang memenangi trofi pada 2022 diundi menentang juara Itali Napoli dalam Kumpulan C yang turut menampilkan Braga dari Portugal dan Union Berlin.
Jurulatih Madrid Carlo Ancelotti mengendalikan Napoli 18 bulan antara 2018 dan 2019. Pertembungan kedua-dua pasukan jarang berlaku tetapi Real menewaskan Napoli yang diterajui Diego Maradona pada pusingan pertama Piala Eropah 1987.
Aksi pusingan pertama berlangsung 19 dan 20 September manakala saingan peringkat kumpulan tamat pada 13 Disember.