FUELLKRUG (kanan) menanduk masuk gol ketiga Dortmund ketika menewaskan Atletico Madrid, awal pagi tadi. FOTO AFP
FUELLKRUG (kanan) menanduk masuk gol ketiga Dortmund ketika menewaskan Atletico Madrid, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

Dortmund: Penyerang, Niclas Fuellkrug berharap Borussia Dortmund mampu kembali ke Wembley, 11 tahun selepas kelab itu kali terakhir layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di stadium sama.

Dortmund menundukkan Atletico Madrid 4-2 pada suku akhir kedua, awal pagi tadi, apabila bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum mara 5-4 secara agregat ke separuh akhir untuk berdepan Paris Saint-Germain (PSG).

Tandukan cemerlang Fuellkrug pada babak kedua menyamakan kedudukan buat Dortmund secara agregat, hanya tiga minit sebelum Marcel Sabitzer meledak gol keempat dan kemenangan tuan rumah.

Menganggap ia sebagai malam 'ajaib' Fuellkrug gembira dengan kejayaan ke separuh akhir, namun menyatakan cabaran Dortmund belum berakhir.

"Kami ada satu matlamat: Wembley."

Fuellkrug beraksi dalam divisyen dua bersama Werder Bremen dua musim lalu sebelum berpindah ke Dortmund, Ogos lalu.

"Kami beraksi di separuh akhir UCL. Bagi seseorang seperti saya, ia terlalu istimewa, tetapi ada beberapa pemain di sini yang berpengalaman sebelum ini."

Di bawah bimbingan jurulatih, Jurgen Klopp, Dortmund layak ke final pada 2013, namun mereka tumpas 1-2 di tangan musuh tradisi, Bayern Munich.

Pemain pertahanan Mats Hummels dan Marco Reus adalah dua pemain Dortmund yang masih kekal daripada perlawanan itu, manakala pemain pertahanan, Niklas Suele menang UCL bersama Bayern pada 2020.

"Suasana, tenaga di tengah padang, terlalu melampau. Kami sedar dari minit pertama tiada siapa akan memberi ruang walau seinci," kata Fuellkrug.

"Kami beraksi dengan amat agresif. Ia sesuatu yang kami perlu teruskan dalam beberapa minggu akan datang."

Dortmund sebelum ini berada dalam kumpulan sama dengan PSG dan tewas 0-2 di Paris sebelum seri 1-1 di laman sendiri untuk menjuarai kumpulan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 12:31 PM