CHE Rashid Che Halim (kiri) antara pemain terbaharu yang dikekalkan Negeri Sembilan. FOTO IHSAN NSFC
CHE Rashid Che Halim (kiri) antara pemain terbaharu yang dikekalkan Negeri Sembilan. FOTO IHSAN NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) yang sedang dalam persiapan membentuk pasukan baharu bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025, hampir melengkapkan sepenuhnya senarai pemain yang diperlukan.

Dua lagi pemain tempatan musim lalu dikekalkan dalam skuad Hobin Jang Hobin membabitkan Che Rashid Che Halim dan A Selvan.

Jurucakap kelab itu berkata, Che Rashid dan Selvan yang masing-masing beraksi di posisi pertahanan kanan dan penyerang dikekalkan semusim lagi.

"Che Rashid adalah antara tonggak penting dalam pasukan sejak 2022 dan musim lalu. Beliau berjaya membantu Negeri Sembilan menduduki tangga ke empat Liga Super pada 2022.

"Pada musim lalu, dia beraksi dalam semua 28 perlawanan dan membantu Negeri Sembilan menduduki tangga kesembilan liga," katanya di sini, hari ini.

Menurut jurucakap kelab itu, Selvan pula adalah pemain muda yang berusia 23 tahun dan boleh beraksi di bahagian sayap kiri dan kanan di mana dia telah beraksi dalam 17 perlawanan musim lalu.

"Selvan juga turut beraksi bersama pasukan Negeri Sembilan bawah 23 (B-23) dalam saingan Piala MFL. Kami berharap pemain muda ini lebih menyinar pada musim ini," katanya.

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan Myanmar, Hein Htet Aung kembali sekali lagi bersama Negeri Sembilan apabila dipinjamkan oleh Selangor FC untuk musim kedua, musim ini.

Jurucakap itu berkata, Hein yang berusia 22 tahun dan memiliki ketinggian 1.74 meter beraksi sebagai pemain sayap, selain mampu bertindak sebagai penyerang.

"Hein dipinjam dari Selangor FC dan pada musim lalu dia beraksi sembilan perlawanan serta menjaringkan dua gol," katanya.

Setakat ini, NSFC sudah mengesahkan 11 pemain tempatan bersama pasukan itu musim ini iaitu turut membabitkan Tauffiq Ar-Rashid, Zainal Abidin Jamil, Annas Rahmat, Nasrullah Hanif Johan, Izzudin Roslan, Hariz Kamaruddin, R Barathkumar, R Aroon Kumar dan N Javabilaarivin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 7:02 PM