CHE Rashid (kiri) terus dapat kepercayaan NSFC.
CHE Rashid (kiri) terus dapat kepercayaan NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat musim lalu, pemain pertahanan Che Rashid Che Halim mengimpikan pencapaian lebih baik pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Berpengalaman hampir 10 tahun dalam saingan liga berprestij tempatan dan dengan lebih 100 penampilan sejak 2013, pertahanan kanan itu yakin dapat memberikan sumbangan terbaik kepada skuad Hobin Jang Hobin musim ini.

Pemain berusia 28 tahun itu yang memperbaharui kontrak semusim lagi bersama kelab berkenaan, berazam untuk menjulang nama pasukan dengan sasaran meraih sekurang-kurangnya satu trofi atau layak ke peringkat Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Alhamdulillah, syukur, saya masih kekal dalam pasukan Negeri Sembilan bagi musim baharu 2023 ini dan terima kasih kepada pihak pengurusan kelab yang memberi kepercayaan untuk terus beraksi bersama pasukan ini.

"Saya akan berusaha keras bagi membalas kepercayaan ini dengan meningkatkan lagi prestasi serta persembahan untuk membantu pasukan meraih pencapaian lebih cemerlang musim ini.

"Saya mengimpikan Negeri Sembilan dapat mencipta kejayaan merangkul sekurang-kurangnya satu piala dan kalau boleh dapat beraksi di peringkat AFC," katanya di sini, hari ini.

Che Rashid yang pernah beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum dipinjamkan ke Melaka United FC pada musim 2021, antara tonggak penting pasukan Negeri Sembilan musim lalu.

Dia sentiasa mendapat kepercayaan pengendali pasukan, K Devan dan diturunkan hampir keseluruhan perlawanan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim lalu.

"Saya sentiasa mengharapkan kehadiran dalam pasukan ini benar-benar dapat memberi impak positif kepada kekuatan Negeri Sembilan dan seterusnya membantu menjulang pasukan ini ke mercu kejayaan," katanya yang sering digandingkan dengan Annas Rahmat, Nasrullah Hanif Johan dan Herold Goulon musim lalu.

Mengulas kemasukan beberapa pemain baharu dalam pasukan itu antaranya Shahrel Fikri Mohd Fauzi dan Mahali Jasuli, Che Rashid yakin dan percaya kehadiran mereka bakal memperkuatkan lagi jentera pasukan Negeri Sembilan.

Menurutnya, pengalaman Mahali yang pernah beraksi dalam banyak pasukan Liga M termasuk dengan JDT dan Petaling Jaya (PJ) City FC, sudah pasti dapat memberikan motivasi lebih tinggi kepada rakan lain dalam pasukan ini.

"Manakala Shahrel Fikri pula bekas penyerang skuad Harimau Malaya dan sudah tentu kehadirannya akan dapat memperkasakan lagi bahagian serangan dalam memastikan Negeri Sembilan berupaya mencipta kemenangan pada setiap perlawanan," kata pemain kelahiran Johor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 2:37 PM