NSFC mengekalkan Saiful Ridzuan untuk musim depan.  FOTO NSFC
NSFC mengekalkan Saiful Ridzuan untuk musim depan. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas berjaya membantu Negeri Sembilan FC (NSFC) menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini, perancang bahagian tengah, Saiful Ridzuan Selamat, bertekad meneruskan kecemerlangan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain berpengalaman berusia 29 tahun itu yang dikekalkan buat musim kedua bersama skuad Hobin Jang Hobin, mahu memainkan peranan lebih berkesan dalam menjana kekuatan pasukan itu mengharungi saingan Liga Super.

"Saya antara beberapa pemain dikekalkan dalam pasukan Negeri Sembilan musim depan dan saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan kelab yang masih memberikan kepercayaan.

"Saya ingin membalas kepercayaan itu dengan memberikan sepenuh jiwa dan raga kepada Negeri Sembilan yang akan beraksi dalam Liga Super, untuk memastikan reputasi pasukan dapat dipertahankan," katanya hari ini.

Saiful Ridzuan dikatakan antara sembilan pemain musim ini yang dikekalkan dalam skuad berkenaan dan pengurusan NSFC juga sudah membawa masuk beberapa pemain lain dalam usaha melengkapkan senarai 30 pemain.

Bekas pemain Selangor FC dan Melaka United FC itu juga akui sudah serasi dengan corak latihan dan taktikal diketengahkan ketua jurulatih, K Devan.

Malah, bekas pemain kebangsaan kelahiran Kuala Lumpur itu yakin prestasinya mampu ditingkatkan menjelang saingan musim depan walaupun pasukan itu bakal diisi dengan ramai pemain baharu termasuk import.

"Perubahan dalam sesebuah pasukan itu penting bagi membina kekuatan baharu dan memantapkan lagi kemampuan pasukan kerana cabaran dalam Liga Super amat berbeza.

"Bagi saya, tiada masalah membentuk keserasian kerana masing-masing sudah mempunyai pengalaman," katanya yang berharap mendapat minit permainan yang lebih baik musim depan.

Setakat ini, NSFC sudah mengikat beberapa pemain luar antaranya Sean Eugene Selvaraj, K Sarkunan dan A Namathevan (Selangor), Ahmad Syihan Hazmi Mohamad (PJ City FC), Hariz Kamaruddin (Kelantan United FC), Ahmad Khuzaimi Piee (UiTM FC), Che Rashid Che Halim (Melaka United) dan Mohamad Izzuddin Mohd Roslan (Perak FC).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 10:20 PM