SEBAHAGIAN peminat setia TFC yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi final Piala Malaysia menentang JDT, Jumaat lalu. FOTO TFC
SEBAHAGIAN peminat setia TFC yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi final Piala Malaysia menentang JDT, Jumaat lalu. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Biarpun penjelasan dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung isu pengadil di aksi final Piala Malaysia Jumaat lalu, ia sama sekali tidak meredakan kemarahan peminat setia skuad Terengganu FC (TFC).

Malah, penyokong TFC menuntut pengadil, S Logeswaran memohon maaf kepada mereka, selain didenda dan digugurkan daripada menduduki jawatan itu kerana ia boleh menjadi barah jika masih berada dalam barisan pengadil FAM.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, walaupun penjelasan dimaklumkan FAM, penyokong tidak boleh menerima jawapan itu yang dilihat bercanggah dengan pandangan penggiat sukan nombor satu itu selain kenyataan dilihat berat sebelah.

"Kami boleh menerima jawapan dikemukakan FAM berhubung enam pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak dapat bertugas pada aksi final itu atas faktor kenegerian selain ada tugasan pengadil di luar negara, tapi kenapa pengadil FIFA sejak 2012 dari Kedah, Mohd Amirul Izwan Yaacob tidak dipetik dalam kenyataan FAM?

"Malah penjelasan berhubung insiden penalti pertama yang diberikan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada minit keenam begitu lemah dan dilihat seolah-olah mahu menutup kesilapan dilakukan pengadil dari Selangor itu ketika ramai bekas pemain, jurulatih dan pengadil mengatakan tidak sepatutnya diberikan sepakan penalti.

"Selain itu, kami lihat keputusan awal tidak mahu memberikan sepakan penalti kepada TFC pada minit ke-21 jelas memperlihatkan pengadil itu seolah-olah berat sebelah, jika tidak kerana bantuan daripada pembantu pengadil, sudah pasti sepakan itu tidak diberikan.

"Bagi menutup kelemahan pengadil itu, FAM langsung tidak menyentuh isu layangan kad merah yang sepatutnya diberikan kepada kapten JDT, Jordi Amat yang jelas mengasari penyerang TFC, Ivan Mamut dari belakang dalam kotak penalti, begitu juga terjahan keras lain.

"FAM sepatutnya telus dalam memberikan jawapan dan bukannya menjatuhkan moral mereka sendiri, selain itu FAM perlulah memilih pengadil berkualiti dan bukannya berat sebelah seperti Logeswaran yang jelas tidak ada kualiti dan dilihat tertekan serta tidak profesional ketika menjalankan tugas," katanya.

Menurutnya, 'dosa' dibuat pengadil dari Selangor itu ke atas pemain TFC bagaikan mendapat restu daripada FAM berdasarkan jawapan kurang bernas badan induk bola sepak negara itu.

Justeru, katanya, penyokong TFC menuntut penjelasan semula daripada FAM berhubung perkara yang tidak dinyatakan selain menilai kewajaran memberikan sepakan penalti kepada JDT pada minit keenam itu.

"Pada masa sama kami menggesa FAM mendenda dan menggugurkan pengadil itu daripada barisan pengadil FAM bagi memastikan episod malang tidak berulang lagi.

"Lebih-lebih lagi pengadil itu sudah beberapa terpalit dengan kontroversi sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:02 PM