PEMAIN JDT meraikan kemenangan dengan menjulang Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
PEMAIN JDT meraikan kemenangan dengan menjulang Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengadil seolah goyah atau hilang arah apabila mengadili perlawanan final membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) hingga menyebabkan mereka membuat keputusan meragukan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, situasi terbabit sering berlaku sekali gus kredibiliti pengadil di negara ini dipersoalkan penyokong bola sepak tempatan yang sudah mula meluat apabila terdapat keputusan seolah menyebelahi skuad Harimau Selatan.

Beliau berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu lakukan sesuatu bagi mengatasi masalah terbabit demi mengelak penyokong bola sepak tanah air memboikot aksi final atau Liga Malaysia (Liga M) pada masa akan datang.

"Saya boleh katakan pengadil seolah tidak boleh membuat keputusan yang tepat dan tegas apabila mengadili pentas final membabitkan pasukan JDT.

"Perkara itu jelas pada perlawanan malam tadi di mana sepakan penalti untuk JDT seawal minit ke lima seharusnya tidak diberikan manakala tonggak JDT Jordi Amat pula terselamat dikenakan kad merah selepas menjatuhkan Ivan Mamut dalam kotak penalti.

"Apa yang saya lihat, perkara ini seharusnya tidak berlaku dan pengadil seolah-olah tidak boleh membuat keputusan yang betul dan takut pada bayang-bayang sendiri," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan kejayaan JDT menjulang Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 tercalar dengan mutu pengadilan yang disifatkan berat sebelah.

Prestasi pengadil, S Logeswaran mencuri tumpuan apabila dikatakan 'bias' oleh peminat bola sepak tempatan.

Beberapa tindakan Logeswaran dipersoalkan apabila tidak melayangkan kad kuning kedua Jordi biarpun melakukan terjahan kasar kepada pihak lawan.

Sementara itu, Sadek berkata, sudah tiba masanya MFL mengeluarkan sedikit belanja untuk menyediakan pengadil luar negara bagi mengadili perlawanan penting seperti final Piala Malaysia.

"Pengadil luar negara sudah pastinya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan akan membuat keputusan lebih tepat dan tegas terhadap kesalahan yang dilakukan pemain.

"Kita boleh lihat Arab Saudi menggunakan khidmat pengadil luar negara sekali gus keputusan yang dibuat di atas padang tidak dipersoalkan. Malah kita juga tidak pernah mendengar Cristiano Ronaldo bising mengenai kualiti pengadil di Liga Pro Saudi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 5:50 PM