KHAIRUL Fahmi (kanan) bersalaman dengan pengendali sementara Hougang United, Marko Krajlevic selepas sidang media menjelang perlawanan kedua-dua pasukan. FOTO FB SABAH FC
KHAIRUL Fahmi (kanan) bersalaman dengan pengendali sementara Hougang United, Marko Krajlevic selepas sidang media menjelang perlawanan kedua-dua pasukan. FOTO FB SABAH FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat mengakui bukan mudah untuk menundukkan Hougang United terutama apabila beraksi di Stadium Jalan Besar yang menggunakan padang jenis rumput tiruan.

Jelas pemain berpengalaman dikenali sebagai Apek yang sudah banyak kali beraksi di venue itu ketika bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini, kelebihan pastinya milik pemain tuan rumah yang biasa beraksi di atas rumput tiruan.

Begitupun, ia tidak bermakna Khairul Fahmi sudah mengibar bendera putih lebih awal, sebaliknya akan tetap berjuang memburu keputusan positif nanti.

"Ini perlawanan yang sukar macam jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) cakap, saya harap pemain bersedia dan dapatkan keputusan yang baik.

"Kita tahu Malaysia dan Singapura selalu bersaing. Bukan senang nak bermain di Singapura terutama sekali di (Stadium) Jalan Besar.

"Bagi saya aksi pada malam esok, kita akan bermain sehabis baik untuk membawa nama Sabah dan sudah tentu kedua-dua pasukan mahukan kemenangan. Saya harap kita dapat teruskan momentum positif pada malam esok," katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Berdasarkan prestasi semasa, skuad The Rhinos dilihat berada pada tahap terbaik apabila merekodkan tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga aksi sebelum ini.

Ia termasuk menundukkan kelab Vietnam, Hai Phong FC 4-1 di Stadium Likas sebelum meneruskan rentak itu dalam saingan domestik dengan menewaskan Kelantan FC dan Terengganu FC, masing-masing 7-0 dan 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 9:08 PM