MALONEY tagih khidmat Luqman dan Annil yang berpangkalan di Eropah. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
MALONEY tagih khidmat Luqman dan Annil yang berpangkalan di Eropah. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsudin akan mengetuai jentera serangan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara pada kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Ulaanbaatar, Mongolia bermula Isnin depan.

Sentuhan ayam tambatan yang beraksi dengan kelab Belgium, KV Kortrijk itu sememangnya ditagih bagi memastikan jentera serangan pasukan tampil ampuh sepanjang kelayakan membabitkan aksi Kumpulan J itu.

Malah, selain Luqman yang berpangkalan di Eropah, pengendali negara, Brad Maloney turut menyenaraikan seorang lagi pemain di luar negara iaitu Annil Vigneswaran yang ketika ini beraksi untuk SGV Freiberg di Jerman.

Annil yang berkemampuan beraksi di pelbagai posisi termasuk penyerang dan pertahanan, dijangka akan digandingkan bersama Luqman sekali gus memberi bayangan betapa padunya jentera serangan yang diwarnai bintang di Eropah.

"Seorang lagi pemain yang berada dalam senarai akhir 23 pemain itu ialah pemain berpangkalan di Jerman, Annil Vigneswaran yang akan terus menyertai pasukan setibanya di Ulaanbaatar nanti," kata Maloney yang mengumumkan senarai 23 pemain itu.

Selain itu, tiga lagi tonggak skuad Harimau Malaya turut di bawa iaitu Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC), Hakimi Abdullah (Terengganu FC) dan Quentin Cheng (Penang FC).

Skuad kendalian Maloney akan berlepas ke Ulaanbaatar esok yang mana Malaysia akan bertemu Laos pada Isnin depan diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia (28 Oktober) dan perlawanan terakhir berdepan Thailand (31 Oktober) bagi merebut tempat ke pusingan akhir di Uzbekistan pada Jun tahun depan.

Ketiga-tiga perlawanan terbabit dijadual berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbaatar yang menggunakan permukaan padang rumput tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 5:38 PM