KIM Swee ketika sidang media di Hanoi hari ini. FOTO Sabah Football Club
KIM Swee ketika sidang media di Hanoi hari ini. FOTO Sabah Football Club
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan anak buahnya agar memberi fokus sepenuhnya dalam aksi Kumpulan H Piala AFC apabila turun menentang kelab Vietnam, Hai Phong FC di Stadium Lach Tray di Hanoi, malam esok.

Jelas Kim Swee, tempoh rehat agak panjang selepas aksi terakhir bertemu PSM Makassar pada 5 Oktober lalu, membolehkan kesemua pemain sempat pulih daripada kecederaan mahupun keletihan sekali gus bakal membariskan skuad terbaik dalam aksi ketiga kumpulan itu.

"Kami buat persediaan sebaiknya dan semua sedar aksi terakhir kami menentang PSM Makassar di Bali, jadi ada sedikit tempoh jarak waktu dan ia beri sedikit kelebihan buat pasukan untuk kembali cergas.

"Sudah tentu keadaan semasa pasukan sangat baik tetapi seperti kita tahu ia bukan aksi mudah menentang Haipong, biarpun mereka tewas dalam aksi terakhir mereka," katanya pada sidang media praperlawanan di Hanoi, hari ini.

Ketika ini, skuad The Rhinos mengungguli carta Kumpulan H dengan enam mata selepas melakar dua kemenangan ke atas Hougang United dari Singapura dan kelab Indonesia, PSM Makassar menerusi keputusan 3-1 dan 5-0.

Sebaliknya nasib kurang baik buat Hai Phong FC yang tumbang di tangan Hougang United pada aksi sebelum ini di Stadium Jalan Besar di Singapura yang menggunakan rumput sintetik, di mana ia dikatakan punca kekalahan kerana pemain Hai Phong FC tidak pernah beraksi di atas padang jenis itu.

Mengulas mengenai kemudahan latihan dan fasiliti di sediakan tuan rumah, Kim Swee yakin perlawanan malam esok bakal berlangsung rancak di atas permukaan padang yang begitu baik.

"Saya percaya dengan fasiliti dan padang yang terbaik, aksi malam esok akan menjadi menarik dan saya harap kedua-dua pasukan akan pamerkan permainan yang baik.

"Walaupun mereka ada kelebihan sebagai tuan rumah, tapi bagi saya kedua-dua pasukan ada peluang dan paling penting saya mahu pemain fokus dan beri sepenuh tenaga untuk memburu keputusan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 2:43 PM