KIM SWEE lega Sabah sudah layak ke separuh akhir ke Piala AFC. -FOTO NSTP
KIM SWEE lega Sabah sudah layak ke separuh akhir ke Piala AFC. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas mengesahkan tiket ke separuh akhir Zon Asean dalam saingan Piala AFC musim ini, Sabah FC mula mencongak strategi untuk melangkah lebih jauh.

Skuad The Rhinos muncul pasukan kedua yang layak ke separuh akhir selepas menundukkan kelab Singapura, Hougang United 4-1 di Stadium Jalan Besar malam tadi, sekali gus mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan H.

Pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee berkata, kejayaan melepasi halangan pertama itu bukanlah penamat sebaliknya ia adalah pembuka jalan untuk mengintai peluang lebih jauh dalam saingan Piala AFC musim ini.

"Sudah tentu sasaran pertama kami adalah layak ke pusingan berikutnya dan sekarang kami sudah berada di separuh akhir Zon Asean.

"Ia pencapaian terbaik dan ia bukan penamat kepada kejohanan, kerana kami mahu melangkah sejauh mungkin di mana kami ada banyak masa mencukupi untuk melakukan persiapan sebaik mungkin selepas ini," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam perlawanan di Singapura itu, empat gol Sabah diraih menerusi dua gol sendiri pemain Hougang United iaitu Nauki Kuriyama dan Anders Aplin manakala dua gol lagi menerusi sentuhan Darren Lok dan Ramon Machado.

Tuan rumah pula mendapatkan gol saguhati menerusi jaringan Gabriel Quek di hujung permainan babak kedua.

"Kami dapat gol awal biarpun tekanan diberikan Hougang United, tetapi pemain menunjukkan aksi terbaik sepanjang perlawanan.

"Tiga mata ini amat penting bagi saya daripada memikirkan umlah jaringan diraih malam ini," kata Kim Swee yang juga bekas pengendali skuad Harimau Malaya.

Selain Sabah FC yang sudah mengesahkan slot ke separuh akhir, satu lagi kelab dari Australia iaitu Macarthur FC turut sudah melayakkan diri.

Kini hanya tinggal dua lagi slot babitkan Terengganu FC, Central Coast Mariners dan Phnom Penh Crown yang akan ditentukan pada aksi terakhir kumpulan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 2:13 PM