KIM Swee menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan menentang Hougang United. FOTO FB SABAH FOOTBALL CLUB
KIM Swee menjawab soalan pada sidang media menjelang perlawanan menentang Hougang United. FOTO FB SABAH FOOTBALL CLUB
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sabah FC memburu kemenangan keempat dalam saingan Kumpulan H Piala AFC apabila menentang kelab Singapura, Hougang United di Stadium Jalan Besar, malam esok.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, kemenangan ke atas Hougang United akan memastikan kemaraan wakil negara itu yang tampil kali pertama di saingan Asia itu.

Bagaimanapun, Kim Swee mengakui bukan mudah menundukkan tuan rumah yang turut mengidamkan tiga mata penuh dalam pertemuan itu nanti.

"Sudah tentu ia aksi penting buat kedua-dua pasukan dan saya anggap ia perlawanan yang sukar.

"Kita tak boleh sambil lewa dan perlu beri fokus sepenuhnya dan harap dapat raih keputusan yang baik," katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Jelas bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu, beliau akan menurunkan skuad terbaik bagi memastikan misi membawa pulang tiga mata maksimum mampu dilaksanakan.

berjaya.

"Bila kita berada di penghujung musim, biasanya akan ada pemain cedera dan keletihan.

"Tapi untuk malam esok, kita akan dapat membariskan pemain terkuat dalam perlawanan itu," katanya.

Ketika ini, skuad The Rhinos memimpin carta Kumpulan H selepas mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan dalam empat aksi.

Kelab Vietnam, Hai Phong FC dan PSM Makassar dari Indonesia berada di tangga kedua dan ketiga dengan enam mata manakala Hougang United di tempat keempat dengan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 6:04 PM