NEYMAR sekali lagi akan berehat panjang selepas menjalani pembedahan di bahagian lutut. FOTO AFP
NEYMAR sekali lagi akan berehat panjang selepas menjalani pembedahan di bahagian lutut. FOTO AFP
AFP

Belo Horizonte: Neymar menjalani pembedahan di sebuah hospital di negara kelahirannya, Brazil untuk merawat kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang terkoyak dan kerosakan meniskus yang dialami semasa perlawanan pasukan kebangsaan bulan lalu.

"Pembedahan itu berjaya. Kami sangat berpuas hati dengan hasilnya," kata Rodrigo Lasmar, doktor pasukan Brazil yang melakukan pembedahan itu.

"Dia menjalani pembedahan ACL dan dua kecederaan meniskus sudah dirawat."

Neymar dijangka kekal di Hospital Mater Dei di bandar tenggara Belo Horizonte selama 24 hingga 48 jam.

Lasmar sebelum ini pernah melakukan pembedahan di bahagian metatarsal kaki kanan Neymar pada 2018.

Pemain berusia 31 tahun itu menangis ketika Brazil tewas 0-2 kepada Uruguay dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada 17 Oktober, selepas bertembung dengan pemain tengah lawan, Nicolas de la Cruz.

Peperiksaan mendapati penyerang bintang itu mengalami koyakan ACL kaki kirinya, salah satu kecederaan lutut paling serius dalam bola sepak.

Kecederaan itu dijangka mengetepikan dia selama beberapa bulan, termasuk untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 bulan ini menentang Colombia dan musuh ketat, Argentina.

Ia adalah rentetan kecederaan baharu yang dialami Neymar, selepas menjalani pembedahan pada Mac kerana masalah buku lali sekali gus terpaksa berehat selama enam bulan.

Masalah kecergasan membayangi sepanjang enam musimnya di Paris Saint Germain, selepas menyertai kelab berkenaan dengan mencatat rekod dunia €222 juta (RM1.1 bilion) pada 2017.

Dia menandatangani kontrak untuk Al Hilal yang dilaporkan bernilai AS$95 juta (RM451 juta) pada Ogos 2023.

Walaupun berdepan kecederaan, Neymar mencatatkan namanya dalam buku rekod pada September apabila melepasi legenda Pele untuk menjadi penjaring gol terbanyak Brazil sepanjang zaman, dengan 79 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 7:03 AM