NEYMAR sah sertai Al-Hilal. FOTO REUTERS
NEYMAR sah sertai Al-Hilal. FOTO REUTERS
AFP

Paris: Neymar berkata dia mahu menikmati cabaran dan peluang di tempat baharu selepas menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal dari Paris Saint-Germain (PSG) dengan perjanjian selama dua tahun sekali gus menjadi nama besar terbaru berhijrah ke negara Teluk yang kaya dengan sumber minyak itu.

Penyerang Brazil berusia 31 tahun itu menamatkan tempoh enam tahun di ibu negara Perancis dan mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo, Karim Benzema serta Sadio Mane berhijrah dari Eropah ke Timur Tengah.

"Saya sudah mencapai banyak kejayaan di Eropah dan menikmati saat istimewa, tetapi saya sentiasa mahu menjadi pemain global dan menguji diri dengan cabaran dan peluang baharu di tempat baharu.

"Saya mahu menulis sejarah baharu, dan Liga Pro Saudi mempunyai aura yang luar biasa serta pemain berkualiti pada masa ini.

"Al-Hilal adalah kelab gergasi yang mempunyai penyokong hebat serta terbaik di Asia. Ia memberikan saya keyakinan bahawa ini adalah keputusan tepat.

"Saya sentiasa teruja untuk meraih kemenangan dan menjaringkan gol, dan saya mahu terus melakukannya di Arab Saudi bersama Al-Hilal," kata Neymar dalam satu kenyataan daripada Liga Pro Saudi.

Neymar menyertai PSG dari Barcelona pada 2017 dengan bayaran rekod dunia sebanyak 222 juta euro (RM1.12 bilion), beberapa minggu sebelum kelab itu menyambar Kylian Mbappe.

Pemain Brazil itu menjaringkan 118 gol dalam 173 perlawanan untuk PSG, memenangi lima kejuaraan Ligue 1 dan tiga Piala Perancis, tetapi dia sering mengalami kecederaan.

Walaupun dia membantu kelab itu mara ke final Liga Juara-Juara 2020, yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Bayern Munich, dia diketepikan pada perlawanan penting itu.

Neymar menjalani pembedahan di buku lali kanannya pada awal Mac lalu dan hanya kembali menyertai PSG dalam jelajah pramusim mereka di Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 7:27 AM