BARCELONA sambung aksi liga dengan masalah kecederaan. FOTO AFP
BARCELONA sambung aksi liga dengan masalah kecederaan. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Bos Barcelona, Xavi Hernandez mungkin perlu kreatif dengan pemilihan pasukannya untuk perlawanan LaLiga mereka di Granada Isnin ini ketika penyandang juara itu bergelut dengan kecederaan pemain utama, termasuk penyerang Robert Lewandowski.

Lewandowski adalah penjaring terbanyak Barca musim lalu dan sudah mempunyai lima gol liga pada kempen kali ini.

Pemain antarabangsa Poland berusia 35 tahun itu menerima terjahan keras daripada pemain Porto, David Carmo dalam kemenangan 1-0 Liga Juara-Juara semalam dan kelab Catalan itu mengesahkan awal pagi ini bahawa dia tidak akan beraksi tanpa memberitahu tempoh rehat.

Barcelona, mengekori Real Madrid di puncak liga dengan satu mata, juga terpaksa berdepan dengan masalah kecederaan yang menimpa Frenkie De Jong, Pedri dan Raphinha.

Xavi boleh berasa sedikit lega kerana Granada berada di tangga kedua dari bawah liga dengan satu kemenangan dalam lapan perlawanan.

Xavi boleh beralih kepada Lamine Yamal, 16 tahun, yang sudah bermain 10 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini, untuk melengkapkan tiga barisan hadapan, bersama Ferran Torres dan Joao Felix, tetapi tidak mahu mengambil risiko membebankan pemain muda itu.

Yamal mencipta sejarah sebagai pemain berada dalam kesebelasan termuda dalam perlawanan Liga Juara-Juara semalam sebelum digantikan pada lewat permainan.

Ketika penjaring gol utama Barca perlu diketepikan, Real nampaknya berada dalam prestasi yang tidak dapat dihalang dengan pemain tengah, Jude Bellingham menjaringkan lapan gol dalam sembilan perlawanan setakat musim ini.

Pemain England berusia 20 tahun itu sekali lagi menemui sasaran ketika Real bangkit untuk memastikan kemenangan 3-2 di Napoli dalam pertembungan Liga Juara-Juara mereka kelmarin.

Real akan menanti kunjungan Osasuna yang berada di tempat ke-10, selepas mereka memenangi satu daripada lima perlawanan liga terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 8:44 AM