MESSI berpelukan dengan Fati selepas tamat perlawanan di  Camp Nou. FOTO AFP
MESSI berpelukan dengan Fati selepas tamat perlawanan di Camp Nou. FOTO AFP
AFP

ANSU Fati muncul pemain termuda menjaringkan dua gol dalam aksi La Liga selepas kombinasinya bersama Lionel Messi membolehkan Barcelona menang 2-1 ke atas Levante, awal pagi tadi.

Fati, berusia 17 tahun 94 hari mengatasi rekod milik Juanmi Jimenez yang meledak dua jaringan Malaga ketika menentang Real Zaragoza ketika berusia 17 tahun 115 hari pada 2010.

Penyerang kelahiran Guinea-Bissau itu menerima hantaran cantik Messi dan melepaskan rembatan kecang di celah kaki penjaga gol Levante, Aitor Fernandez selepas setengah jam perlawanan bermula.

Dua minit selepas itu, Messi sekali lagi menghantar bola kepada Fati dalam kotak penalti yang disudahkan dengan cemerlang pemain muda itu menerusi rembatan rendah.

Levante yang menewaskan Barca 3-1 di tempat sendiri pada awal kempen cuba merapatkan kedudukan pada masa kecederaan oleh Ruben Rochina namun sudah terlewat menghalang kemenangan Barcelona.

Kemenangan itu membolehkan Barcelona merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang pendahulu, Real Madrid dan meredakan tekanan di bahu jurulatih, Quique Setien selepas tewas 0-2 kepada Valencia minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 8:34 AM