ESTEBAN Solari. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ESTEBAN Solari. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) pantang undur sebelum melawan walaupun mengetahui kelab dari Jepun Kawasaki Frontale mempunyai reputasi besar dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Pengendali JDT, Estaban Solari berkata, barisan anak buahnya sudah bersedia untuk melayan kunjungan Kawasi Frontale dalam perlawanan pertama kumpulan I Liga ACL yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim esok.

Beliau berkata, walaupun Kawasaki Frontale yang dibimbing Toru Oniki boleh dikatakan antara pasukan digeruni dalam saingan Liga ACL, ia tidak akan membuatkan JDT goyah apabila bersedia melakukan kejutan ketika bertemu pasukan itu.

"Kita tahu kempen Liga ACL adalah perlawanan yang cukup kompetitif dan sudah tentu JDT akan mengharungi perlawanan lebih mencabar.

"Kelab dari Jepun mempunyai reputasi besar kerana mereka dlihat cukup kuat terutamanya barisan pemain Kawasaki Frontale yang cukup laju dan juga kelebihan fizikal.

"Namun, pemain JDT sudah bersedia daripada segi mentaliti dan fizikal kerana kita sudah melakukan persediaan awal bagi mengharungi perlawanan itu," katanya.

Musim lalu menyaksikan skuad Harimau Selatan encatatkan keputusan seri apabila bertemu Kawasaki Frontale yang juga juara Liga Jepun 2021 di Stadium Sultan Ibrahim yang dijadikan venue berpusat.

Mengikut rekod, JDT sekali lagi diundi bersama kelab Korea Selatan yang juga juara dua kali ACL, Ulsan Hyundai FC dan Kawasaki Frontale dalam Kumpulan I bagi saingan musim ini.

Musim lalu, ketiga-tiga pasukan itu turut berada dalam Kumpulan I yang mana skuad Harimau Selatan muncul juara kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati.

Satu lagi pasukan yang turut diundi dalam Kumpulan I musim ini adalah naib juara Liga 1 Thai musim lalu, BG Pathum United FC.

JDT membuka tirai saingan kumpulan musim ini berdepan Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim pada esok sebelum berkunjung ke Stadium Phatum Thani untuk berdepan BG Pathum United pada 3 Oktober bagi aksi kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 12:47 PM