AMAT (kanan) mengawal pergerakan Marcinho pada perlawanan ACL di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa lalu. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
AMAT (kanan) mengawal pergerakan Marcinho pada perlawanan ACL di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa lalu. FOTO JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat percaya rakan sepasukannya akan mampu bangkit pada baki aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas ini.

Amat yang juga tonggak pertahanan kental skuad Harimau Selatan itu mengakui JDT sudah mempamerkan aksi bertenaga ketika menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa lalu.

Namun juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu terpaksa akur tumbang 0-1 menerusi jaringan tunggal perlawanan penyerang import Kawasaki Frontale, Marcinho di hujung babak pertama permainan.

"Dalam perlawanan ACL pertama kami (musim ini), kami menunjukkan keazaman dan daya saing yang hebat, tetapi tidak mendapat keputusan diharapkan.

"Saya percaya kami mempunyai potensi untuk melakukan yang lebih baik. Mari terus maju ke depan," kata Amat di laman sosial Instagramnya.

Kekalahan tipis itu menyaksikan JDT berada di tangga ketiga carta Kumpulan I dan dijadual meneruskan aksi menentang kelab Thailand, BG Pathum di Bangkok, pada 3 Oktober ini.

BG Pathum sebelum itu tumbang 1-3 kepada kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai yang berlangsung di Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 4:24 PM