PEMAIN JDT bergambar sebelum menentang BG Pathum. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT bergambar sebelum menentang BG Pathum. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari jelas teruja selepas misi meraih kemenangan membuahkan hasil apabila menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum United 4-2 dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pathum Thani, semalam.

Solari menegaskan aksi menentang skuad kendalian Surachai Jaturapattarapong begitu penting buat s Harimau Selatan selepas tewas tipis 0-1 kepada Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim, 19 September lalu.

Katanya, walaupun tumpas dalam aksi pertama saingan ACL, tapi karakter setiap pemain mahu membuktikan sesuatu betapa mereka boleh melakar kemenangan di tempat lawan selepas bermain dengan baik di gelanggang sendiri tapi tetap konsisten di tempat lawan.

"Malam ini (malam semalam) kita buktikan yang kita tidak kekok bermain di tempat lawan apabila berjaya lakar kemenangan begitu bermakna buat pasukan ini tatkala beraksi di pentas ACL yang begitu mencabar terutama menentang pasukan lawan yang sukar seperti BG Pathum United.

"Kami tidak sabar bermain selepas kekalahan kepada Kawasaki Frontale kerana kami tahu kami boleh beraksi lebih baik. Malam ini (semalam) n ujian cukup mencabar buat kami, dan setiap pemain yang diturunkan beraksi bermain dengan hebat," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Mengulas mengenai gol awal BG Pathum United yang hampir menggugat pendekatan taktikal JDT, pengendali kelahiran Argentina itu berkata gol berkenaan bagaikan pencetus kebangkitan barisan pemain Harimau Selatan.

Ditanya mengenai persiapan menentang kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai yang dijadual pada 24 Oktober ini, pengendali dari Argentina belum mahu memikirkan perancangan untuk berdepan skuad kendalian Hong Myung-bo tatkala mahu memastikan setiap pemain JDT menjalani proses pemulihan selepas menempuh aksi yang begitu mencabar.

"Ia mustahak untuk teruskan tempo permainan berintensiti tinggi dan kekalkan prestasi tapi ada tempoh rehat dalam kalendar FIFA memberi peluang untuk pemain yang lain melakukan proses pemulihan," kata Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 4:01 PM