SKUAD JDT memiliki misi besar di saingan ACL musim ini. FOTO FOTO ARKIB NSTP
SKUAD JDT memiliki misi besar di saingan ACL musim ini. FOTO FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Laluan berliku bakal dihadapi juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini, apabila diundi dalam Kumpulan I bersama kelab dari Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Menerusi undian diadakan di Rumah AFC, di sini, hari ini, JDT yang dibimbing Esteban Solari perlu berhadapan bekas juara ACL musim 2020 iaitu Ulsan Hyundai FC dari Korea Selatan dan juara Liga Jepun 2021, Kawasaki Frontale.

Tentangan sengit bakal hadir dari Thailand, BG Pathum United yang membuat kejutan pada aksi Kelayakan ACL, Selasa lalu dengan menundukkan kelab China, Shanghai Port menerusi kemenangan 3-2 di China.

Begitupun secara ironinya, skuad Harimau Selatan memiliki sedikit kelebihan psikologi apabila pada musim lalu pernah menumbangkan Ulsan Hyundai sebanyak dua kali serta mengikat Kawasaki Frontale di Stadium Sultan Ibrahim yang dijadikan venue berpusat.

Namun, untuk saingan musim ini, format pertandingan diubah apabila aksi 'home' dan 'away' bakal menyaksikan perebutan buat keempat-empat pasukan untuk muncul dua terbaik bagi mara ke pusingan 16 terbaik dari Zon Timur.

UNDIAN ACL Zon Timur.
UNDIAN ACL Zon Timur.

Sementara itu, Solari mengakui peluang anak didiknya melepasi peringkat kumpulan ini agak sukar, namun beliau enggan mengibar bendera putih terlalu awal.

Katanya, JDT akan membuat persiapan sebaiknya dan lebih selesa dianggap sebagai pasukan bukan pilihan.

"Ini (undian) sedikit sengit dan kami kena fikirkan untuk menyediakan pasukan secara mental dan taktikal dan kami lihat peluang tetap masih ada.

"Musim ini format tidak sama seperti tahun lalu dan dua kelab iaitu dari Jepun dan Korea Selatan adalah pasukan yang besar dan kelab Thailand juga kuat…mereka adalah pilihan," katanya.

Pada musim lalu, JDT mara ke pusingan 16 selepas muncul juara Kumpulan I dengan meraih empat kemenangan dan seri sekali untuk mengumpul 13 mata.

Begitupun impian untuk melangkah lebih jauh disekat kelab Jepun, Urawa Red Diamonds yang kemudiannya muncul juara ACL musim lalu selepas menundukkan wakil Arab Saudi, Al-Hilal dengan agregat 2-1 di final.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 5:10 PM