UNDIAN yang menyaksikan JDT diletakkan dalam kumpulan sukar. FOTO BERNAMA
UNDIAN yang menyaksikan JDT diletakkan dalam kumpulan sukar. FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Di atas kertas dua kelab gergasi bola sepak Asia iaitu Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai adalah pilihan untuk melepasi peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Begitupun kedua-dua kelab, masing-masing dari Jepun dan Korea Selatan itu menganggap kehadiran Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kumpulan sama bakal menyukarkan laluan mereka untuk layak ke pusingan berikutnya.

Ia susulan format perlawanan menggunakan kaedah 'home and away' yang pastinya sukar terutama apabila bertandang ke gelanggang keramat JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) nanti.

Pengurus pasukan Kawasaki Frontale, Kazuo Yoneda berkata, kebimbangan itu berlandaskan kepada kegagalan musim lalu di mana pasukannya yang beraksi di SSI gagal melepasi peringkat kumpulan, dengan JDT menjuarai saingan kumpulan ketika itu.

Katanya, dua faktor yang dilihat mungkin menjadi penghalang buat pasukannya untuk mengutip mata di SSI iaitu sorakan penyokong setia skuad Harimau Selatan dan keadaan padang.

"JDT adalah pasukan yang bagus dan kami jangkakan dua perlawanan yang sukar menentang mereka terutama apabila bermain di SSI kerana penyokong mereka begitu bersemangat dan stadium mereka juga mempunyai kualiti padang yang sama seperti kami di Jepun," katanya ketika ditemui selepas majlis undian ACL di Rumah AFC, di sini semalam.

Nada sama diakui pegawai pasukan Ulsan Hyundai, Kang Han yang aura SSI cukup menggerunkan dan boleh mengganggu rentak pasukannya.

"JDT adalah satu pasukan yang hebat dan stadium mereka mempunyai atmosfera cukup baik dengan lebih 10,000 penyokong yang hadir pada setiap perlawanan.

"Ia akan jadi sukar buat kami kerana mereka akan bersorak tanpa henti sepanjang 90 minit," kata Han.

Selain dua pencabar dari Asia Timur itu, satu lagi kelab yang melengkapkan saingan Kumpilan I adalah pasukan Thailand, BG Pathum United.

Saingan ACL dijadual bermula pada 19 September ini dengan JDT bakal menanti kunjungan Kawasaki Frontale di SSI.

Pada musim lalu, JDT mara ke pusingan 16 selepas muncul juara Kumpulan I dengan meraih empat kemenangan dan seri sekali untuk mengumpul 13 mata.

Namun impian untuk melangkah lebih jauh disekat kelab Jepun, Urawa Red Diamonds yang kemudiannya muncul juara ACL musim lalu selepas menundukkan wakil Arab Saudi, Al-Hilal dengan agregat 2-1 di final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 2:47 PM