Agensi

London: Jurgen Klopp mengakui kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak dapat berbuat apa-apa bagi menyekat perpindahan mega pemain ke Arab Saudi ketika pengurus Liverpool itu berusaha mengekalkan Mo Salah di Anfield.

Al-Ittihad membuat bidaan kedua lebih lumayan £170 juta (RM994.66 juta) untuk mendapatkan Salah awal pagi tadi hanya selepas beberapa jam bidaan awal £150 juta (RM885.8 juta) ditolak Reds.

Liverpool berkeras enggan menjual Salah tetapi kelab Liga Pro Saudi itu bersedia meningkatkan bidaan sehingga memecah rekod dunia £200 juta (RM1.17 bilion).

Jendela perpindahan Britain sudah pun ditutup tetapi hierarki Anfield akan diuji sehingga saat akhir kerana jendela Liga Pro Saudi masih dibuka sehingga Khamis depan.

Klopp berkata: "Minggu depan akan menunjukkan betapa besar cabaran menunggu. Ini kerana tiada sesiapa dapat memberikan reaksi lagi. Uefa khususnya perlu memantau perkara ini kerana kita semua perlu melindungi perlawanan.

"Ia seperti lebih kepada ugutan. Saya tak nampak kita mampu menafikannya. Apa boleh kita lakukan dengan kontrak sebesar itu dan ia menimbulkan masalah. Sudah tentu. 100 peratus.

"Kita perlu pastikan liga Eropah kekal kuat seperti sedia ada. Mungkin kita boleh ubah sedikit beberapa peraturan atau undang-undang.

"Kita semua terkejut dengan aktiviti di Arab Saudi. Ramai pemain ternama pergi ke sana."

SALAH ditawarkan gaji RM13 juta seminggu.
SALAH ditawarkan gaji RM13 juta seminggu.

SunSport difahamkan Salah, 31, ditawarkan gaji £2.3 juta (RM13.45 juta) seminggu untuk berpindah ke Timur Tengah manakala bidaan kedua jauh lebih lumayan apabila Al-Ittihad sedia membayar £145 juta (RM848.44 juta) berserta £25 juta (RM146.27) tambahan lain.

Perpindahan Neymar berharga £198 juta (RM1.15 bilion) dari Barcelona ke PSG pada 2017 adalah rekod dunia sekarang dan bintang Brazil berusia 31 tahun itu kini berpindah ke Al-Hilal di Arab Saudi.

Klopp semalam berkata dia tidak peduli dengan bidaan awal untuk Salah.

Menurutnya: "Pendirian kami masih sama. Tiada apa perlu diperkatakan."

Kengganan Liverpool dipercayai kerana mereka tidak dapat mencari pengganti sehingga Januari untuk Salah yang menandatangani kontrak baharu tiga tahun pada musim panas lalu.

Tetapi Al-Ittihad yang sudah pun memperoleh bekas rakan sepasukan Salah di Anfield, Fabinho yakin mereka akan dapat memiliki bintang Mesir itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 9:09 AM