FABINHO menyertai Benzema dan Kante di Al Ittihad. FOTO Agensi
FABINHO menyertai Benzema dan Kante di Al Ittihad. FOTO Agensi
AFP

Riyadh: Pemain tengah Brazil, Fabinho telah menandatangani perjanjian tiga tahun dengan kelab Arab Saudi, Al Ittihad selepas menamatkan perpindahannya dari Liverpool.

Pemain berusia 29 tahun itu diketepikan daripada skuad pramusim Liverpool yang berkunjung ke Jerman dan Singapura selepas Al-Ittihad membuat bidaan £40 juta (RM232 juta) untuknya.

Dia akan menyertai Karim Benzema dan N'Golo Kante di Al Ittihad, salah satu daripada empat kelab Arab Saudi yang dikawal oleh dana kekayaan negara Teluk itu.

Fabinho menyertai Liverpool dari Monaco pada 2018 dan membuat 219 penampilan untuk The Reds, memenangi Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Liga dan Piala Dunia Kelab.

"Hari ini saya meninggalkan 'rumah' saya. Sudah lima tahun memakai jersi ini dan sentiasa mendapat penghormatan serta kebahagiaan yang paling besar mungkin," tulis Fabinho di Twitter.

"Sejak hari pertama di Liverpool, saya diterima oleh semua orang," tambahnya.

"Dalam lima tahun ini, saya berkembang sebagai pemain, sebagai seorang lelaki, saya membuat impian menjadi kenyataan... Dengan jersi itu, saya memenangi setiap gelaran yang boleh diimpikan oleh pemain."

Pemergiannya berlaku selepas kapten Liverpool, Jordan Henderson menamatkan tempoh 12 tahun di Anfield minggu lalu, berpindah ke Arab Saudi untuk bermain untuk Al Ettifaq, yang dibimbing oleh Steven Gerrard.

Rakan senegara Fabinho, Roberto Firmino meninggalkan Merseyside untuk menandatangani dengan Al-Ahli awal bulan ini.

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp juga melihat pemain tengah Naby Keita, Alex Oxlade Chamberlain dan James Milner meninggalkan kelab secara percuma sejak akhir musim lalu.

Bagaimanapun mereka memperkukuhkan bahagian tengah dengan pembelian Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 8:33 AM