SALAH bersujud selepas menjaringkan gol ketiga Liverpool ketika menentang Aston Villa.
SALAH bersujud selepas menjaringkan gol ketiga Liverpool ketika menentang Aston Villa.
Agensi

London: Liverpool dilaporkan membuat keputusan tidak akan menjual Mohamed Salah minggu ini walaupun ditawarkan dengan harga rekod dunia £200 juta (RM1.17 bilion) daripada Al-Ittihad.

Liverpool sebelum ini menolak salah satu tawaran untuk Salah selepas kelab Liga Pro Saudi itu membuat bidaan lisan £150 juta (RM879 juta) minggu lalu.

Namun, pemilik kelab negara Timur Tengah terbabit enggan berputus asa dalam usaha menandatangani pemain impian mereka.

Kelab di liga utama Arab Saudi masih mempunyai masa sehingga esok untuk memuktamadkan semua pembelian pemain dan laporan menyebut Al-Ittihad dijangka meneruskan misi mereka mendapatkan Salah sehingga saat akhir.

Namun setakat ini tawaran mega itu masih belum berjaya. Media difahamkan Liverpool tidak akan melayan sebarang tawaran untuk Salah dalam tempoh beberapa hari lagi.

Tawaran terbaru Al-Ittihad disahkan £120 juta (RM703 juta) berserta tambahan lain sehingga mencecah £200 juta (RM1.17 bilion) tetapi Liverpool menegaskan mereka tidak akan menerimanya walaupun dengan harga rekod dunia.

Salah mengetepikan spekulasi masa depan dengan menjaringkan gol ketika Liverpool menewaskan Aston Villa 3-0 di Anfield Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 9:00 AM