SALAH dilaporkan sedang diintai Al-Ittihad. FOTO AFP
SALAH dilaporkan sedang diintai Al-Ittihad. FOTO AFP
Agensi

London: Liverpool mensasarkan gandingan Barcelona untuk menggantikan Mohamed Salah jika penyerang itu menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Ittihad.

Beberapa pemain Barcelona dilaporkan tidak berpuas hati dengan situasi di kelab itu dan berusaha untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini dengan Liverpool sedang memantau situasi Ansu Fati dan Ezra Abde.

Barca sedia menjual Fati supaya mereka boleh mendaftar pemain pinjaman, Joao Cancelo dari Manchester City.

Situasi Fati hadir susulan juara Arab Saudi, Al-Ittihad sedia menawarkan bintang Liverpool, Salah perjanjian yang mengatasi gaji tahunan £173 juta (RM1.02 bilion) diterima Cristiano Ronaldo di Al-Nassr.

Bos The Reds, Jurgen Klopp menafikan khabar angin Salah akan meninggalkan pasukan, manakala ejen pemain itu Ramy Abbas Issa menegaskan awal bulan ini penyerang Mesir itu kekal komited terhadap LFC.

Bagaimanapun, jendela perpindahan Arab Saudi dibuka hingga 20 September dan mereka akan melancarkan usaha berterusan untuk mendapatkan khidmat pemain Mesir itu.

Salah dikaitkan kuat dengan perpindahan ke kelab Saudi beberapa minggu kebelakangan dengan stesen penyiar kerajaan KSA Sports TV mendakwa kemenangan 2-1 Liverpool ke atas Newcastle Ahad lalu adalah aksi terakhirnya buat The Reds.

Tawaran mega £130 juta (RM767 juta) juga digembar-gemburkan.

Satu laporan di Relevo menyatakan The Reds menyedari mengenai situasi Fati sekalipun kini perpindahan penyerang Barca itu ke England bergantung kepada masa depan Salah di Anfield dengan kemungkinan besar dia kekal di kelab itu.

Kontrak Fati bersama Barcelona berakhir pada tahun 2027, tetapi dia tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah pengurus Xavi Hernandez.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 11:14 AM