PENGENDALI Sabah FC Datuk Ong Kim Swee (tengah). -FOTO NSTP
PENGENDALI Sabah FC Datuk Ong Kim Swee (tengah). -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee tidak mahu barisan anak buahnya terus meratapi kekalahan lalu apabila turun menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC di Stadium Likas, esok.

Kim Swee berkata, walaupun kekalahan 1-5 kepada JDT pada pertemuan lalu cukup pedih untuk ditelan namun beliau mahu barisan pemain terus fokus untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

Katanya, Sabah FC harus memperbaiki kedudukan mereka dalam perlawanan terakhir dalam saingan liga super bagi mengembalikan keyakinan peminat tegar kepada mereka.

"Sehingga kini, kita masih lagi mempunyai beberapa pemain termasuk Saddil Ramdani dan Miguel Ángel Garrido Cifuentes berada dalam senarai kecederaan.

"Saya harap mereka sempat pulih sebelum perlawanan bermula dan menggunakan peluang ada untuk mengutip tiga mata," katanya.

Selain itu, beliau juga berkata, Sabah FC memerlukan keputusan positif serta tidak boleh mengalami kekalahan demi kekalahan sehingga mereka kehilangan mata berharga.

"Kita ingin mengekalkan di kelompok teratas liga. Ini penting bagi memastikan apabila berakhir nanti Sabah FC berada dalam satu kedudukan yang baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 5:36 PM