KIM Swee mengingatkan anak buahnya supaya fokus menentang KL City esok. FOTO Ihsan Sabah FC
KIM Swee mengingatkan anak buahnya supaya fokus menentang KL City esok. FOTO Ihsan Sabah FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC berkemungkinan bermain tanpa tiga tonggak penting menentang Kuala Lumpur City FC pada perlawanan Suku Akhir Piala Fa di Stadium Likas, malam esok.

Saddil Ramdani, Kwang Min Ko dan Irfan Zakaria yang amat diharapkan kudrat mereka bagi memperkuat skuad Sang Badak kemungkinan besar tidak dapat beraksi kerana masih dalam senarai pemain mengalami kecederaan.

Ketiga-tiganya adalah pemain tengah yang juga boleh melakukan tugas sebagai penyerang dan sayap selain di barisan pertahanan yang menjadi sandaran mematahkan kemaraan lawan.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata Sabah FC pasti berdepan saingan getir menentang Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi ia adalah aksi kalah mati yang memerlukan kekuatan pasukan, selain kelebihan selaku tuan rumah.

"Apa yang pasti Saddil tidak dapat beraksi malam esok, manakala Kwang Min Ko dan Irfan Zakaria baru saja pulih daripada kecederaan.

"Saya akan pantau tahap kecergasan mereka dan berharap mereka dapat pulih sepenuhnya untuk bersama-sama pasukan kita esok.

"Kita harus mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri untuk memastikan layak ke peringkat seterusnya seperti yang kita inginkan," katanya mengulas persiapan anak buahnya berdepan saingan suku akhir Piala Fa esok.

Kim Swee menegaskan anak buahnya perlu fokus dan tidak terlalu memikirkan untuk mara ke peringkat seterusnya hingga menyebabkan mereka hilang tumpuan akibat tertekan.

"Saya tidak mahu pemain memikirkan untuk layak ke separuh akhir sehingga hilang fokus pada perlawanan.

"Kita tidak mahu tewas di Likas terutama di hadapan penonton sendiri. Oleh itu pemain perlu menjalankan tugas mereka dan membuktikan Sabah layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Mengenai prestasi pemain, Kim Swee berkata, beliau yakin pemain Sabah FC berada pada tahap memberangsangkan selepas mencatat kemenangan menentang Perak FC dalam aksi Liga Super Selasa lalu.

Katanya, perlawanan dalam saingan Liga Super berbeza dengan Piala Fa kerana ia membabitkan aksi suku akhir yang memerlukan komitmen tinggi kalangan pemain apabila beraksi di laman sendiri.

"Kita harus memperbaiki lagi bahagian pertahanan. Semua pemain harus faham yang kita tidak boleh sentiasa dibolosi pada setiap perlawanan.

"Jika kita mampu mengawal permainan dengan baik dan bertahan dengan baik, saya percaya kita mempunyai peluang yang cukup baik untuk layak ke peringkat seterusnya malam esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 10:09 PM