Azzmi harap momentum baik pasukan Negeri Sembilan dapat diteruskan pada pertembungan dengan Selangor FC, di MBPJ, Ahad ini. - Foto Ihsan NSFC.
Azzmi harap momentum baik pasukan Negeri Sembilan dapat diteruskan pada pertembungan dengan Selangor FC, di MBPJ, Ahad ini. - Foto Ihsan NSFC.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab Aziz berharap persembahan memberangsangkan dipamer pada pertembungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu lalu, mampu diteruskan ketika berhadapan dengan Selangor FC, dalam aksi kedua Liga Super, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Pengendali berusia 49 tahun itu menegaskan bahawa, meskipun skuad bimbingannya gagal meraih sebarang mata pada aksi pertama musim ini, namun komitmen diperagakan anak buahnya adalah sangat positif.

"Pemain telah tunjukkan sikap yang positif dan disiplin yang baik serta berjaya melaksanakan tugas mereka seperti dirancang pada aksi permulaan itu. Ia adalah sesuatu yang baik buat pasukan untuk menghadapi aksi kedua di MBPJ, Ahad ini.

"Saya lihat pemain Negeri Sembilan ada keyakinan yang bagus untuk memberikan saingan dengan pasukan hebat dan berkualiti tinggi seperti JDT.

"Jadinya, dengan moral yang lebih baik ini, saya berharap mereka dapat meneruskan persembahan meyakinkan itu apabila berdepan dengan Selangor nanti," katanya.

Mengulas mengenai status khidmat dua pemain pinjaman Selangor iaitu Azrin Afiq Rusmini yang beraksi di bahagian pertahanan dan Hein Htet Aung, beraksi di sayap kanan pada pertembungan itu nanti, pengendali berasal dari Ampang berkenaan mengesahkan khidmat kedua-duanya tidak dapat dimanfaatkan.

Menurut beliau, perkara itu bukan suatu isu yang besar serta mengganggu perancangannya dalam misi memburu kemenangan pertama musim ini, sebaliknya ia sudah diketahui lebih awal dan akur dengan proses perjanjian pinjaman yang telah ditetapkan antara kedua-dua pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 5:24 PM