DARREN Lok (kiri) dan Stuart kekal bersama Sabah FC. FOTO SABAH FC
DARREN Lok (kiri) dan Stuart kekal bersama Sabah FC. FOTO SABAH FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sebahagian besar pemain Sabah FC pada musim lalu, termasuk penyerang dari Indonesia, Saddil Ramdani kembali bersama pasukan untuk menghadapi saingan separuh akhir Piala AFC Zon Asean pada 13 Februari ini.

Saddil sebelum ini dikhabarkan seolah-olah mahu meninggalkan Sang Badak berdasarkan perkongsian di akaun Instagramnya pada Disember lalu yang mengucapkan terima kasih sepanjang tiga tahun bersama Sabah FC.

Selepas itu beliau bercuti dan sepatutnya menyertai pasukan kebangsaan negaranya ke kejohanan Piala Asia 2023 pada pertengahan Januari lalu, namun disingkirkan pada saat akhir.

Beliau bagaimanapun kembali ke Sabah dan mula menyertai latihan bersama pemain skuad Sang Badak yang lain sejak akhir Januari lalu, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai pengundurannya.

Pada 17 Disember lalu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengumumkan seramai 22 pemain Sabah FC pada musim lalu kekal bersama pasukan pada musim 2024, termasuk tiga memperbaharui kontrak selama setahun lagi iaitu Rawilson Batuil, Umareng Bachok dan seorang penyerang import, Ramon Machado.

Selain Ramon dan Saddil, lima lagi pemain import Sabah pada musim lalu yang kekal ialah Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Miguel Angel Garrido Cifuentes, Park Taesu dan Kwang Min Ko.

Semua pemain kebangsaan yang bermain bersama skuad Sang Badak pada musim lalu iaitu Darren Lok, Dominic Tan dan Stuart John Wilkin turut kekal bersama pasukan.

Mereka juga sudah kembali ke Sabah sejak beberapa hari lalu selepas tamat aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 yang menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya mengikat Korea Selatan dengan keputusan seri 3-3 pada 25 Januari lalu.

Hanya kedudukan Daniel Ting yang belum pasti berikutan ada khabar angin mengatakan pemain kebangsaan yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kembali ke pangkuan Harimau Selatan.

Sebelum ini, Skuad Sang Badak kehilangan Mohd Amri Yahyah yang mengumumkan persaraan selepas tamat saingan Liga Super 2023 pada Disember lalu, selain Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria yang tamat kontrak.

Setakat ini, Kim Swee hanya menambah seorang pemain dalam pasukan bimbingannya, iaitu Harith Naem Jaineh yang juga bekas pemain Sabah FC sebelum berhijrah ke Melaka United pada 2022 dan bersama Perak FC pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 5:10 PM