ZII Jia akan menentang Ka Long esok. FOTO Asyraf Hamzah
ZII Jia akan menentang Ka Long esok. FOTO Asyraf Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia berjaya menggamatkan Axiata Arena apabila mempamerkan aksi mantap pada saingan suku akhir Masters Malaysia menentang pilihan kedua dari Denmark, Anders Antonsen apabila berjaya mencatat kemenangan untuk mara ke separuh akhir esok.

Sokongan padu penonton jelas sekali meningkatkan semangat pilihan kelima itu apabila berjaya mempamerkan permainan meyakinkan terutama pada set penentuan untuk mencatat kemenangan 21-15, 19-21, 21-11.

Bagaimanapun, timbul sedikit kegusaran terhadap juara Terbuka Thailand itu, apabila terhincut-hincut sebaik tamat perlawanan dan terus mendapatkan rawatan dengan pasukan perubatan, serta tidak menemui media untuk ditemubual.

Dia yang menduduki ranking ke-10 dunia juga akan mengulangi aksi final Terbuka Thailand apabila bertemu lawan sama seperti minggu lalu, iaitu Ng Ka Long dari Hong Kong.

Ka Long berjaya melakar kejutan selepas mengetepikan pilihan ketiga dari China, Li Shi Feng 21-13, 21-15 untuk berdepan Zii Jia buat kali kesembilan.

Menurut pengurus Zii Jia, Lee Zii Yii, keletihan adiknya itu mula terpancar pada set kedua perlawanan, sehingga memaksa mereka meminta bantuan daripada pasukan perubatan.

"Dia memang agak keletihan terutama selepas berdepan aksi sengit sejak semalam (pusingan kedua) Ketika berdepan Kiran George dari India. Sekarang dia mengalami kekejangan seluruh badan, hendak duduk pun kejang, berdiri pun kejang dan duduk juga kejang. Mungkin dia akan menjalani rawatan mandi ais di Institut Sukan Negara (MSN).

"Dia tidak bercakap apa-apa (mengenai tahap keadaannya). Hanya duduk termenung tidak berbuat apa-apa. Dia memang letih dan perlu menyejukkan badan. Kita akan hantarnya ke ISN untuk pemulihan," katanya.

Ditanya mengenai aksi esok, Terbuka Singapura dan Indonesia, Zii Yi berkata, mereka akan cuba terbaik untuk pulih dan melihat keadaannya tatkala sekarang belum dapat memberi sebarang jawapan.

Sementara itu dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terkandas selepas tumpas kepada lawan masing-masing.

Aaron-Wooi Yik yang juga pilihan utama kalah kepada Jin Yong Na, Sung Seung dari Korea Selatan, 21-11, 19-21, 19-21, manakala Sze Fei-Izzuddin tumpas di tangan pilihan kedua dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 19-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 8:05 PM