AKSI menarik regu Malaysia menentang Thailand  di Stadium Titiwangsa.
AKSI menarik regu Malaysia menentang Thailand di Stadium Titiwangsa.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Thailand mengidam bertemu semula Malaysia di final acara regu berkumpulan untuk melunaskan kembali luka tercalar pada perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024, kelmarin.

Pengurus pasukan merangkap Ketua jurulatih Thailand, Supot Tumpracha berkata, beliau akui Malaysia ketika ini lebih baik dari pasukannya dan selepas kekalahan di tangan Malaysia, anak buahnya kembali dengan motivasi lebih baik dalam dua perlawanan peringkat kumpulan.

Jelasnya, mereka ingin sekali lagi berjumpa Malaysia dan berharap tuah kali ini memihak pasukannya.

"Pemain sudah tentu kecewa (kalah di final) tetapi sekarang mereka bangkit kembali dan fokus untuk pusingan seterusnya. Tahniah kepada Malaysia kerana mengalahkan Thailand. Kami menerima kekalahan dan sekarang Malaysia lebih kuat daripada Thailand.

"Dalam acara berpasukan kami mempunyai banyak pilihan. Sudah tentu kami mempunyai ramai pemain yang bagus, jadi kami berjanji pasukan Thailand akan mengalahkan Malaysia di final," katanya.

Tambahnya, beliau mengakui kehadiran penuh penonton di Stadium Titiwangsa memberi kesan sangat besar kepada pemainnya hingga gagal fokus dalam gelanggang.

"Sudah tentu penonton membuat para pemain gugup dan tertekan kerana di Thailand, pemain tidak pernah mengalami situasi ini kerana penonton sangat bising (di Malaysia). Di Thailand, tidak seperti ini.

"Walaupun pemain berpengalaman tetap merasa tekanan tetapi mereka melakukan yang terbaik untuk menyesuaikan diri dan berharap di final (regu berpasukan) pemain akan lebih yakin.

"Penonton (Malaysia) akan terus memberi tekanan tetapi pemain pasti akan melakukan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 5:46 PM