KIM Swee (kanan) menyatakan beberapa pemain Sabah FC memiliki baki kontrak sehingga musim 2024. FOTO ARKIB NSTP
KIM Swee (kanan) menyatakan beberapa pemain Sabah FC memiliki baki kontrak sehingga musim 2024. FOTO ARKIB NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengingatkan pasukan yang berhasrat 'memancing' pemain Sang Badak bagi menyertai mereka pada musim depan supaya melakukannya secara profesional.

Kim Swee berkata, beliau tidak mahu anak buahnya diganggu dengan pelbagai tawaran dan berita yang disebarkan melalui media sosial terutama dalam persiapan menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan H Piala AFC, esok, dan Liga Super pada Ahad ini.

Beliau memahami amalan memancing pemain adalah perkara lumrah menjelang akhir musim, namun menekankan rata-rata pemain Sabah FC terikat dengan kontrak hingga akhir 2024.

"Apa yang kita baca dalam media sosial atau ura-ura mengenai beberapa pemain (bakal meninggalkan pasukan), biar saya jelaskan di sini.

"Pertama, beberapa pemain masih ada kontrak bersama Sabah FC hingga hujung 2024.

"Kalau (berita itu) datang dari media sosial, kita jangan percaya. Jika ada pasukan berminat dengan pemain Sabah FC, saya minta lakukan secara profesional.

"Kita tahu apabila hujung musim, pancing-memancing biasa berlaku, tapi dengan ada perlawanan penting esok dan perlawanan terakhir liga Ahad nanti, saya tidak ingin pemain saya diganggu dan saya harap semua pihak faham," katanya pada sidang media menjelang perlawanan terakhir Kumpulan H Piala AFC menentang PSM Makassar, malam esok.

Kim Swee diminta mengulas mengenai khabar angin beberapa tonggak utama Sabah FC bakal berpindah ke kelab lain pada musim depan.

Antara nama disebut termasuk penyerang, Ramon Machado de Macedo dan Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu yang menyartai pasukan sejak Julai lalu.

Kim Swee berkata, selepas selesai dua perlawanan itu, beliau akan berbincang dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dan dua timbalannya mengenai kedudukan serta hala tuju Sabah FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 6:48 PM