KIM Swee akan membuat penilaian terakhir terhadap empat pemain utama sebelum menentang Sri Pahang, malam esok.
KIM Swee akan membuat penilaian terakhir terhadap empat pemain utama sebelum menentang Sri Pahang, malam esok.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC dijangka bermain tanpa empat tonggak utamanya pada pertemuan dengan Sri Pahang FC dalam aksi keempat Liga Super di Kuantan, malam esok.

Empat pemain terbabit, Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Jailton Da Silva dan Darren Lok cedera pada perlawanan menentang Kuching City FC, Isnin lalu.

Bagaimanapun, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau akan membuat penilaian akhir sama ada empat pemain terbabit dapat diturunkan atau tidak selepas sesi latihan, hari ini.

Pada masa sama, beliau mengakui tidak bimbang jika empat tonggak utama pasukannya itu tidak dapat diturunkan memandangkan masih ada pemain pengganti yang boleh mengisi tempat mereka.

"Kita akan lihat perkembangan mereka, jadi saya hanya dapat tentukan mereka dapat diturunkan atau tidak selepas latihan esok (hari ini).

"Kita masih mempunyai lebih kurang 48 jam sebelum bertemu Sri Pahang," katanya.

Kim Swee berkata, secara keseluruhan, pemain lain berada dalam keadaan amat baik untuk menggalas cabaran menentang Sri Pahang.

Menurutnya, kecergasan pemain berada pada tahap cukup tinggi apabila setiap pemain yang diturunkan tak kira dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian, dapat menunjukkan tahap kecergasan cukup bagus.

Pada masa sama, Kim Swee memuji gandingan Saddil Ramdani dan Darren Lok yang dilihat cukup serasi mencipta peluang dan menjaringkan gol dalam tiga perlawanan awal Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 12:00 PM