CIFU meninggalkan Kelantan untuk menyertai Sabah bagi saingan Liga Super musim ini.
CIFU meninggalkan Kelantan untuk menyertai Sabah bagi saingan Liga Super musim ini.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC sah mengikat bekas pemain import Kelantan FC, Miguel Ángel Garrido Cifuentes atau Cifu menjelang jendela perpindahan Liga Malaysia, bulan depan.

Meskipun belum ada kenyataan rasmi daripada pengurusan Sabah FC, hantaran ringkas di Facebook (FB) Sabah FC mengalu-alukan kedatangan pemain berusia 32 tahun berasal dari Sepanyol itu sudah cukup untuk mengesahkan kedudukan terkininya.

"Memperkenalkan tambahan terbaharu Sang Badak, Miguel Ángel Garrido Cifuentes atau turut dikenali sebagai Cifu! Dilahirkan pada 5 Oktober 1990 di Zujar, Granada, Andalusia, Cifu adalah seorang pemain serba boleh yang muncul melalui persediaan remaja Elche CF di Sepanyol.

"Dia membawa kemahiran yang hebat sebagai pemain sayap kanan, bek kanan dan pemain tengah kepada pasukan kita. Mari alu-alukannya ke keluarga Sabah FC! Vamos Amigo!!," menurut hantaran di FB Sabah FC, malam tadi.

Cifu bersama Kelantan sejak Februari lalu dengan perlawanan terakhirnya ketika pasukan itu tewas 1-4 kepada Kelantan United pada 2 Jun lalu.

Beliau sempat bermain 13 perlawanan bersama Kelantan dan menyumbangkan empat jaringan selain satu bantuan jaringan kepada pasukan itu.

Selepas perlawanan dengan Kelantan United, Cifu menamatkan kontrak bersama Kelantan dan berterima kasih kepada pasukan itu atas peluang bermain selama kira-kira empat bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 2:41 PM