Hector Bidoglio
Hector Bidoglio
Rizar Mohd


Johor Baharu: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio berwaspada taktikal permainan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, petang esok.

Bagi pengendali kelahiran Argentina itu, mengakui ia perlawanan tempat lawan yang mungkin tampak sukar tapi pemburuan tiga mata menjadi agenda utama pasukan itu dan akan tampil lebih agresif bagi memastikan rentak kemenangan ketika tewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-1, Sabtu lalu dapat diteruskan.

"Kita sekali lagi akan beraksi di waktu petang dan ia tidak akan menjejaskan rentak permainan malah kami akan meningkatkan lagi momentum bagi memastikan setiap posisi bergerak dalam satu pasukan untuk membantu antara satu sama lain.

"Justeru kita perlu tampil lebih dinamik dan agresif untuk pastikan kemenangan dalam perlawanan itu malah tumpuan kami sentiasa memberi fokus dalam setiap perlawanan yang diharungi tidak kira bermain di waktu petang atau malam.

"Kami perlu lebih kerap mengawal dan meningkatkan lagi kualiti permainan kerana setiap pemain ada peranan masing-masing yang mereka tahu apa yang harus dilakukan dan membuat keputusan yang tepat apabila berada di situasi yang boleh menjaringkan gol," katanya.

Bidoglio juga akan membuat penggiliran pemain bagi menyesuaikan taktikal permainan yang bakal diterapkan memandangkan pasukan KL City FC yang dibimbing Miroslav Kuljanac pasti inginkan kemenangan pertama selepas sekadar seri 1-1 dengan Kuching City FC pada aksi 12 Mei lalu.

Bagaimanapun, Bidoglio kemungkinan tidak dapat menurunkan pemain sayap kanan, Arif Aiman Hanapi yang masih dibelenggu kecederaan manakala Bergson Da Silva tidak berdepan masalah untuk diturunkan walaupun mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan.

"Belum pasti lagi Arif boleh diturunkan atau sebaliknya dan kami mahu dia pulih sepenuhnya manakala Bergson begitu bersemangat menjalani latihan dan ada kemungkinan dia akan beraksi atau saya akan buat penggiliran," kata Bidoglio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 5:32 PM