Bintang basikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Bintang basikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Oleh Mohd Amin Jalil


lNilai: Semangat dan keyakinan bintang basikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, terus membara selepas merangkul empat pingat emas dalam Kejohanan Trek Kebangsaan 2024, yang berlangsung di Velodrom Nasional, yang berakhir semalam.

Nurul Izzah meraih emas menerusi acara sprint individu dan berpasukan, keirin serta 500 meter (m) ujian masa.

Pelumba berasal dari Kedah itu yang bakal berusia 21 tahun menjelang September depan berkata, pencapaian diraih pada kejohanan kebangsaan itu tetap bermakna meskipun ia tidak sama dengan cabaran yang bakal dihadapi di pentas Olimpik Paris2024.

"Saya tetap bangga dengan pencapaian pada kejohanan kali ini walaupun ia hanya membabitkan saingan pelumba tempatan.

"Dari segi catatan masa peribadi juga tidak banyak berubah. Di India pun, saya buat 34.3 saat (s) dan di sini, saya buat 34.2s, tak jauh sangat, bagi saya perlu konsisten dan perlu tingkatkan lagi kerana saingan di Olimpik jauh lebih mencabar.

"Saya akui masih banyak yang perlu pelajari dan perbaiki terutama dari segi teknik dan taktik khususnya dalam keirin, namun pencapaian di sini, tetap membantu dalam persiapan ke arah Olimpik," katanya.

Menurut Nurul Izzah, dia sudah bersedia untuk berhadapan dengan cabaran getir di Paris walaupun tidak menafikan terdapat rasa gementar dan sedikit tekanan dalam dirinya ketika ini.

Situasi berkenaan katanya, tidak boleh dielak kerana kali pertama bakal beraksi di Olimpik, namun dia akan berusaha dengan pelbagai cara untuk tidak berada dalam tekanan menjelang cabaran di Olimpik.

Malah, dia juga akui melalui persiapan rapi dan bimbingan jurulatih serta rakan berpengalaman termasuk Datuk Mohd Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom, perkara itu akan dapat ditangani dengan baik.

"Tumpuan hanya untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi skil dalam perlumbaan, lebih berani dan berdaya tahan. Untuk itu latihan di Belgium dan negara Eropah nanti diharap dapat membantu melonjakkan prestasi.

"Sasaran saya hanya hendak berikan saingan terbaik terhadap pelumba dunia danberada dalam kelompok hadapan dengan pelumba lain di Paris nanti," kata pelumba kelahiran Sungai Petani ini.

Malaysia akan mempunyai empat wakil daripada sukan berbasikal masing-masing tigadalam acara trek dan satu lebuh raya menerusi Nur Aisyah Zubir.

Pasukan trek negara sudah merangka program latihan untuk tempoh tiga bulan bermula dengan latihan pusat di Velodrom Nilai sebelum beralih ke Eropah iaitu Belgium, Sepanyol dan England dan akhirnya terus menyertai perlumbaan di Paris yang dijadual pada 6 hingga 11 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 5:41 PM