MICHAEL bersama anak angkat Rafei (dari kiri), Rasyid, Abdul Rahman dan cucu angkat Rayyan Aisy Rafei. FOTO Effendy Rashid
MICHAEL bersama anak angkat Rafei (dari kiri), Rasyid, Abdul Rahman dan cucu angkat Rayyan Aisy Rafei. FOTO Effendy Rashid
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Tidak ada yang mustahil jika Allah SWT berkehendakkan sesuatu. Jika kita tengok usaha dan pengorbanan Michael Tong Wai Siong, belum tentu kita mampu menjadi seperti dia."

Demikian kata Pakar Keluarga dan Kasih Sayang, Ibu Rose mengenai kisah dan kehidupan lelaki berketurunan Tionghoa, Michael Tong Wai Siong, 55, yang memelihara tiga anak angkat lelaki Melayu sejak lebih 16 tahun lalu.

Menurutnya, tindakan Michael atau mesra disapa Uncle Mike itu sesuatu yang perlu disyukuri oleh semua pihak.

"Kehidupan Michael dan tiga anak angkatnya satu perkara yang kita perlu syukuri. Apatah lagi adik-beradik itu dijaga dan dipelihara. Malah, agama anak-anak itu tetap dijaga dengan baik.

"Ini contoh kemanusiaan yang baik dan indah. Kita doakan yang baik-baik buat mereka. Semoga bapa yang menjaga, memelihara dan membesarkan anak-anak itu akan diberikan ganjaran serta mendapat cahaya Islam," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tindakan Michael itu mungkin mustahil bagi orang lain, namun kehendak Allah itu melangkaui segala-galanya.

"Bagi orang yang bercakap tindakan Michael itu sesuatu yang mustahil sebab dia tak nampak jalan itu. Namun apa yang kita kena faham adalah, apa yang menggerakkan hati seseorang yang bukan beragama Islam untuk menjaga anak-anak itu.

"Bila kita tahu jawapannya, tak ada yang mustahil. Ini kerana, Allah gerakkan hati orang itu. Paling penting, dia tidak lalaikan agama budak-budak itu.

"Kalau fikir dan ikut kemampuan manusia ia memang mustahil, tapi kemampuan Allah tak terbatas. Dan bila Allah berikan sesuatu seruan dan kehendak ke dalam jiwa hamba-Nya, Allah cukupkan jiwa dan kehidupan untuk laksanakan perkara itu," katanya.

Terdahulu, akhbar ini berkongsi kisah Michael dengan seorang kanak-kanak Melayu yatim piatu lebih 16 tahun lalu di sebuah rumah anak yatim dan mengambilnya sebagai anak angkat.

Bukan kanak-kanak lelaki itu saja, malah dua adiknya turut dijaga Michael dan sehingga kini mereka bertiga masih kekal bersamanya menjalani kehidupan sebagai sebuah keluarga bahagia.

Michael tidak kekok menjaga Rafei Ahmad Fauzi yang ketika ini berusia 29 tahun dan dua lagi adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, malah menyayangi mereka seperti anak sendiri biarpun tiada pertalian darah dan tidak saling mengenali sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 6:21 PM