PEMAIN Sabah FC, Saddil meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Kuala Lumpur City FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Likas. FOTO MOHD ADAM ARININ
PEMAIN Sabah FC, Saddil meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Kuala Lumpur City FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Likas. FOTO MOHD ADAM ARININ
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sabah FC berdepan situasi membimbangkan apabila sering ketinggalan jaringan dalam enam perlawanan berturut-turut, termasuk ketika menentang Kuala Lumpur City FC, malam tadi sebelum keputusan berubah pada minit akhir.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, berkata situasi itu berpunca daripada pemain yang hilang fokus menyebabkan pasukan lawan mudah mengambil peluang menjaringkan gol terutama melalui sepakan percuma.

Katanya, situasi yang sama berlaku ketika berdepan KL City di Stadium Likas malam tadi yang menyaksikan Sabah FC ketinggalan 1-0 sepanjang separuh masa pertama.

"Kita hilang fokus ketika setpieces atau sepakan percuma di mana dua jaringan KL City yang menyebabkan kita sentiasa ketinggalan. Jadi ini satu kelemahan yang perlu kita perbaiki.

"Kita sentiasa ketinggalan sejak lima perlawanan lepas," katanya pada sidang media selepas aksi Liga Super Sabah lawan KL City di Stadium Likas, malam tadi.

Perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 itu memaksa Sabah berpuas hati dengan hanya menambah satu mata untuk mengukuhkan kedudukan di tangga kedua carta Liga Super dengan mengumpul 36 mata, perbezaan lima mata di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dalam aksi malam tadi, Sabah ketinggalan 1-0 bermula minit kelima sebelum berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-47, namun sekali lagi ketinggalan apabila KL City menambah jaringan untuk mengubah kedudukan kepada 2-1 pada minit ke-60.

Bagaimanapun, Sabah bernasib baik dapat menyamakan kedudukan melalui sepakan percuma Saddil Ramdani pada minit ke-85 menjadikan kedudukan kembali terikat dengan 2-2 dan ia kekal hingga ke wisel penamat.

Kim Swee berkata, kegagalan pemain menyempurnakan banyak peluang sepanjang permainan juga menyebabkan skuad Sang Badak tidak mendapat tiga mata penuh atau kemenangan malam tadi.

Beliau bagaimanapun memuji semangat juang tinggi anak buahnya yang tidak membiarkan situasi ketinggalan jaringan berkekalan hingga ke akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 1:37 PM