kemalangan empat kenderaan termasuk sebuah kereta perisai Gempita milik ATM di Kilometer 36.4 Jalan Seremban -Tampin pagi tadi. Foto ihsan PDRM
kemalangan empat kenderaan termasuk sebuah kereta perisai Gempita milik ATM di Kilometer 36.4 Jalan Seremban -Tampin pagi tadi. Foto ihsan PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap


Rembau: Tiga kenderaan dan sebuah kereta perisai Gempita milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit kemalangan di Kilometer 36.4, Jalan Seremban - Tampin awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kemalangan jam 10.50 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan jiwa.

Katanya, selain kereta perisai Gempita milik ATM kemalangan turut membabitkan kereta Proton Saga, kereta Proton Saga FLX dan kereta Perodua Axia.

"Siasatan awal polis mendapati kemalangan berpunca apabila kereta Perodua Axia dipandu wanita 29 tahun hilang kawalan lalu melanggar belakang kereta Proton Saga.

"Kereta Proton Saga itu dipandu wanita berusia 48 dalam perjalanan ke tempat kerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka.

"Sejurus itu, kereta Proton Saga FLX dipandu lelaki berusia 45 tahun gagal mengelak dan melanggar belakang kereta Proton Saga menyebabkan kenderaan itu masuk ke laluan bertentangan. Kereta itu kemudian dirempuh kereta perisai Gempita," katanya tadi.

Kemalangan mengakibatkan pemandu kereta Perodua Axia dan penumpangnya mengalami kecederaan di bahagian bibir.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala pemandu dua lagi kereta tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 7:18 PM