KIM Swee akur apabila pasukannya tidak mendapat keputusan yang dikehendaki. FOTO MOHD ADAM ARININ
KIM Swee akur apabila pasukannya tidak mendapat keputusan yang dikehendaki. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC mungkin mendapat satu sepakan penalti yang boleh mengubah keputusan seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama Liga Super menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee, berkata peluang baik untuk Sabah itu mungkin diberikan kepada Sang Badak jika Video Pembantu Pengadil (VAR) yang mula digunakan dalam saingan Liga Super musim ini, berfungsi.

Katanya, Sabah terpaksa menerima hakikat bahawa teknologi itu tidak dapat digunakan pada saat akhir bagi membantu pengadilan perlawanan membuat keputusan tepat ketika aksi malam tadi.

"Kalau ada VAR kemungkinan ada penalti untuk kita, tapi itu kita harus terima di mana pada saat-saat akhir VAR tidak dapat digunakan.

"Jadi, kemungkinan kali ini tidak membantu kita tetapi pada perlawanan akan datang mungkin dengan adanya VAR akan tambah baik dari segi keputusan untuk membantu pengadil," katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Dalam aksi malam tadi, pemain Sabah FC mendakwa berlaku handball di kawasan kotak penalti Pulau Pinang ketika perebutan bola berlaku di antara Saddil Ramdani dengan seorang pemain pasukan pelawat pada minit ke-77.

Bagaimanapun, pengadil dipercayai tidak melihat situasi itu dan hanya memberikan Sabah sepakan sudut, manakala semakan VAR tidak dapat dibuat kerana tidak berfungsi.

Sistem VAR di Stadium Likas dilaporkan tidak dapat digunakan pada saat akhir menjelang sepak mula yang bermula pada jam 5.45 petang semalam disebabkan masalah teknikal.

Berikutan itu, Sabah terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Pulau Pinang apabila seri tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan pada kira-kira jam 7.40 malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai pencapaian anak buahnya malam tadi, Kim Swee akur apabila pasukannya tidak mendapat keputusan yang dikehendaki walaupun mengawal permainan dengan baik.

"Secara keseluruhan, kita mengawal permainan dengan baik dan kita harus memperbaiki terutama dari aspek penyudah di mana banyak peluang yang kita cipta namun kita tidak dapat menjaringkan gol," katanya.

Beliau juga mengakui bermain di tempat sendiri tanpa mendapat kemenangan pada perlawanan pertama memberi sedikit kesan pada permulaan musim.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat penilaian kerana baru melalui satu perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini.

Pada masa sama, Kim Swee turut mengakui ketiadaan pemain sayap, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu pada aksi malam tadi turut memberi kesan kepada pasukan.

"Tentu kalau adanya Cifu, mungkin akan melancarkan sedikit tetapi secara keseluruhan apa yang dilakukan Telmo Castanheira, Stuart Wilkin dan semua pemain yang beraksi mereka mencuba untuk mendapatkan gol.

"Tapi, seperti saya katakan bukan mudah di mana kalau kita lihat, saya tidak pasti sama ada Penang ada peluang-peluang yang dapat kita lihat terutama pada separuh masa kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 12:06 PM