STAMBOULIDIS sedang dinilai melalui sesi latihan bersama Sabah FC. FOTO SABAH FC
STAMBOULIDIS sedang dinilai melalui sesi latihan bersama Sabah FC. FOTO SABAH FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC mungkin menambah pemain importnya bagi saingan Liga Malaysia musim ini berikutan kehadiran seorang pemain baharu dalam kem latihan sejak awal minggu ini.

Pemain dikenali sebagai Haris Stamboulidis atau nama penuhnya, Charalampos Stamboulidis yang berasal dari Australia itu dilihat berlatih bersama pemain sedia ada, sekali gus menimbulkan andaian dia sudah diikat Sabah FC.

Bagaimanapun, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, setakat ini pengurusan pasukan belum memutuskan untuk menandatangani kontrak pemain import baharu.

"Sabah FC masih meneliti prestasi dan keupayaan sebenar pemain itu menerusi sesi latihan pasukan sebelum menyerahkan kepada pengurusan pasukan untuk membuat keputusan rasmi sama ada mengambil Haris atau sebaliknya.

"Saya lihat prestasinya cukup positif dan kami akan umumkan dalam masa terdekat sama ada pemain baharu ini akan menandatangani (kontrak) atau tidak," katanya mengulas kehadiran Haris.

Beliau berkata, setakat ini Sabah FC masih mengekalkan pemain import sedia ada untuk membantu pasukan mengekalkan kedudukan antara lima kelompok pasukan terbaik Liga M.

Ketika ini, Sabah dibarisi tujuh pemain import iaitu Ramon Machado, Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu, Park Taesu, Kwang Ming Ko dan Saddil Ramdani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 8:59 PM