NORIZAM kecewa gagal daftar empat pemain import baharu.
NORIZAM kecewa gagal daftar empat pemain import baharu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman melahirkan rasa terkilan terhadap tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membantu pasukannya sejak awal lagi.

Norizam berkata, FAM dilihat seolah 'tidak ikhlas' untuk membantu mereka menyelesaikan masalah pendaftaran pemain pasukan itu.

Katanya, susulan masalah terbabit menyebabkan Kelantan FC tidak dapat mendaftarkan empat pemain import baharu untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Jendela khusus untuk Kelantan FC dibuka pada 27 Julai hingga 1 Ogos dan kita sudah menghantar nama pemain baharu ke dalam MyPass MFL.

"Tetapi ada masalah teknikal untuk 'Transfer Matching System' (TMS) bagi pemain asing yang sudah diketahui orang FAM seawal 27 Julai. Jadi mereka sepatutnya tolong semasa kita laporkan masalah itu, bukan tolong selepas 4 Ogos.

"Saya sudah laporkan kepada FAM, saya telefon Presiden (Datuk Hamidin Mohd Amin), Setiausaha Agung (Noor Azman Rahman) maklumkan mengenai masalah pendaftaran sebelum tarikh 1 Ogos," katanya.

Selain itu, beliau berkata, FAM seharusnya menghulurkan bantuan sejak awal lagi dan bukannya selepas tamat tempoh pendaftaran pemain hingga menjejaskan Kelantan FC.

"Kenapa hanya tolong pada 4 Ogos? Adakah mereka betul-betul ikhlas nak bantu kerana mereka hantar surat pada Fifa dan minta lanjutan untuk semua pasukan, mestilah tak dapat (Fifa luluskan).

"Hanya selepas 15 Ogos, baru mereka maklumkan ia sebenarnya membabitkan masalah teknikal TMS. Jadi hak Kelantan FC untuk mendaftarkan pemain dinafikan kerana kegagalan FAM.

"Kenyataan Fifa yang tidak benarkan lanjutan, memanglah Fifa takkan benarkan. Tak perlu tuding jari cakap ini masalah Kelantan FC sedangkan FAM adalah tempat mengadu apabila membabitkan masalah teknikal TMS.

"FAM satu badan sukan yang dihormati mestilah benar-benar ikhlas membantu pasukan demi penswastaan sebenar dan hal-hal teknikal perlu diperhalusi bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 4:07 PM