HARGA tiket final Piala FA antara JDT dan KL City di Stadium Sultan Ismail (SSI), 22 Julai ini, dibahagikan kepada lima kategori. FOTO FB MFL
HARGA tiket final Piala FA antara JDT dan KL City di Stadium Sultan Ismail (SSI), 22 Julai ini, dibahagikan kepada lima kategori. FOTO FB MFL
Syazwan Msar


kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan sudah menerima semula sebahagian tiket final Piala FA yang berkemungkinan tidak habis dijual oleh Kuala Lumpur City (KL City) FC.

Tiket diserahkan semula oleh KL City itu akan dijual kepada penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti dipersetujui kedua-dua pasukan menerusi hebahan media yang dikeluarkan MFL, sebelum ini.

Menerusi kenyataan media, MFL memaklumkan penyokong KL City masih boleh membeli tiket aksi final itu yang masih ada diperuntukkan buat mereka.

"Untuk maklumat terkini mengenai penjualan tiket, sila nantikan pengumuman rasmi daripada kedua-dua pasukan finalis, KL City dan JDT," katanya.

Terdahulu, JDT menerusi Facebook Johor Southern Tiger memaklumkan tiket perlawanan akhir Piala FA itu sudah habis dijual selepas beberapa hari dibuka kepada penyokong mereka.

"Tiket untuk perlawanan akhir Piala FA 2023 antara JDT dan Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 22 Julai 2023 sudah habis dijual. Terima kasih, Keluarga JDT. Luaskan Kuasamu Johor," katanya.

MFL menetapkan lima kategori tiket untuk diagihkan secara sama rata kepada dua pasukan finalis itu sebelum dijual kepada penyokong masing-masing.

MFL membahagikan tiket mengikut lima kategori dengan 'General Admission' berharga RM50, Piala FA 'Grandstand' RM100, Piala FA Premium RM150, MFL Premium RM150 dan MFL 'Grandstand' RM200.

Penetapan harga tiket mengikut kategori itu sama seperti dilakukan MFL pada perlawanan akhir mana-mana kejohanan Piala FA dan Piala Malaysia sebelum ini khusus memberikan lebih pilihan buat penyokong untuk hadir ke stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 5:28 PM